KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin Parti Warisan Sabah yang didakwa menyebar fitnah terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan itu cuba mengaibkan Ketua Menteri Sabah dengan beberapa panggilan termasuk munafik dan cuba berpura-pura menangis di hadapan ribuan ahli USNO.
“G57 meminta pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mengambil tindakan tegas dan mengheret pimpinan serta ahli Warisan ke muka pengadilan agar budaya fitnah ini dapat dihentikan.
“Mereka memfitnah dan mengaibkan Ketua Menteri Sabah kononnya sengaja menipu menangis dan tangisan ini merupakan tangisan seorang munafik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu Zukarnian membuat laporan polis terhadap tiga individu termasuk ahli dan pemimpin Warisan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Sebelum ini, Hajiji secara spontan telah menangis semasa berucap merasmikan Wisma Parti USNO di Donggongon Avenue, Jalan Penampang, Sabah pada 25 Jun lalu.
Reaksi Hajiji itu terjadi ketika beliau mengenang kembali perjuangan bersama USNO pada awal penglibatannya dalam politik dan menceritakan pengalamannya ketika bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman sewaktu pilihan raya pada 1990.
Sebaliknya reaksi Hajiji itu diputarbelirkan beberapa pemimpin Warisan yang secara sengaja mengubah suai video Hajiji menangis dengan ditokok tambah ayat “dah tua pun bodoh termasuk perkataan ‘air mata munafik penuh dengan kepuraan.
Rakaman video itu kemudiannya ditularkan pemimpin dan ahli Warisan melalui sosial media.
Zulkarnain juga menyifatkan tindakan itu cuba mengaibkan imej Ketua Menteri Sabah kerana mahu menafikan rekod prestasi yang baik mentadbir negeri itu.
“Perbuatan ini jelas cubaan mengaibkan yang sangat jijik dan tidak boleh diterima.
“Pembangkang di Sabah ketika ini tahu Sabah berada di landasan yang betul di bawah pimpinan Hajiji,” katanya.
Antara kejayaan Hajiji sejak mengambil alih pentadbiran Sabah ialah berjaya menarik minat pelabur dari Korea Selatan iaitu syarikat pengeluar kerajang tembaga untuk bateri kenderaan elektrik (EV), SK Nexilis telah melabur sebanyak RM2.3 bilion dan akan berpangkalan di Kompleks Industri KKIP, Kota Kinabalu, Sabah.
“Kilang yang kini dalam pembinaan itu telah menawarkan pekerjaan kepada hampir 2,000 rakyat Sabah,” katanya.
Selain itu rekod menunjukkan pelaburan luar ke Sabah pada 2022 berjumlah RM11.5 bilion dalam pelbagai sektor ekonomi dan trend ini masih terus berjalan pada 2023.
Sebaliknya sepanjang Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah, tiada satu pun pelabur asing yang berjaya di bawah masuk ke Sabah.
“Malah kadar KDNK Sabah sebelum Shafie mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sabah berada pada 8.2 peratus telah jatuh menjunam ke paras terendah 0.5 peratus.
“Mungkin atas faktor keupayaan Hajiji mentadbir Sabah fitnah dan rekyasa jahat telah dibuat ke atas Hajiji,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Menangis pun MUNAFIK? pelik manusia sekarang ni… sebelum ni Menteri Komunikasi siap melalak-melolong dalam kempen PRU kononnya dia orang susah papakedana telah DIHINA UMNO… tak pulak munafik…. MUNAFIK ni ikut selera ke?