Tertuduh, Datuk Seri Sim Choo Thiam yang berdepan empat pertuduhan rasuah juga dikaitkan dengan bekas Menteri KDN.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 10 hari pada bulan Mei tahun depan bagi perbicaraan bagi seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk Seri’ yang berdepan dengan empat tuduhan rasuah.

Untuk makluman, tertuduh, Datuk Seri Sim Choo Thiam, 54, juga dikaitkan dengan bekas Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Hari ini, Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menetapkan 6 hingga 10 Mei dan 13 hingga 17 Mei 2024 untuk perbicaraan penuh.

Beliau turut menetapkan 21 Februari tahun depan bagi sebutan kes ini.

Tertuduh berdepan satu pertuduhan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Choo Thiam didakwa meminta suapan wang berjumlah RM15 juta daripada Pengarah Urusan Asia Coding Centre Sdn Bhd, Hep Kim Hong melalui Syed Abu Zafran Syed Ahmad pada Jun 2021.

Ia sebagai dorongan untuk seorang pegawai badan awam iaitu Hamzah Zainudin yang juga Menteri KDN ketika itu untuk membantu syarikat itu mendapatkan apa-apa projek milik agensi di bawah KDN pada Jun 2021.

Bagi tiga lagi pertuduhan, beliau didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM3.5 juta, RM5.5 juta dan RM6 juta daripada Kim Hong sebagai dorongan untuk Hamzah membantu mendapatkan projek milik agensi di bawah KDN antara 19 hingga 30 Julai 2021.

Choo Tiam didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi. – MalaysiaGazette