KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 26 Julai ini.
Hujahan bertulis tersebut berkaitan permohonan Sanusi kepada mahkamah mengenai pengampunan kepada Anwar lima tahun lepas oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
Perkara ini diputuskan selepas pengurusan kes dilakukan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, V.K. Neethiya Nair hari ini.
Mahkamah arah Anwar, Sanusi fail hujah bertulis selewat-lewat 26 Julai
Tarikh pengurusan kes lanjutan ditetapkan pada 14 Ogos bagi pihak terbabit mengemaskini status pemfailan hujahan tersebut.
Pada 31 Mac lepas, Sanusi memohon mahkamah menentukan persoalan fakta iaitu sama ada pengampunan yang diberikan kepada Anwar pada 16 Mei 2018 adalah pengampunan penuh bukan sahaja mengetepikan keseluruhan hukuman penjara lima tahun tetapi juga sabitan salah.
Mahkamah juga dipohon untuk menentukan persoalan undang-undang, sama ada sesuatu pengampunan yang diberikan itu berada di bawah kuasa yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang berupaya mengetepikan sabitan jenayah.
Pada April lepas, Anwar dalam afidavit jawapannya menyatakan permohonan terbabit berada di luar bidang kuasa mahkamah dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 181.
Ia memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan adalah kuasa yang tetap dan tidak terjejas, kata Anwar.
Permohonan dilakukan Sanusi selepas saman fitnah difailkan terhadapnya berhubung ucapan berbaur fitnah yang mengaitkan Anwar dengan perlakuan tidak bermoral dalam kempen ceramah ‘Jelajah PN Best Tambun’ ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15. -MalaysiaGazette