Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin. AMIRUL SHAUFIQ, 29 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN)  Kuala Lumpur mengempur sebuah stor penyimpanan gas bersubsidi (LPG) berlesen di Setapak selepas didapati tidak merekodkan pembelian bernilai RM1.7 juta.

Stor ini juga  gagal mengisytiharkan buku stoknya.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, setor itu berjaya diserbu pada 23 Jun lalu oleh pasukan penguatkuasa KPDN KL bertindak atas hasil risikan selama empat hari terhadap aktiviti premis tersebut.

“Seorang lelaki tempatan yang disyaki pemilik stor itu berjaya diberkas di lokasi untuk dirakam keterangan dan siasatan lanjut.

“Kita telah mengemukakan notis kepada pemilik premis untuk membekalkan dokumen berdasarkan peruntukan perundangan kepada pemegang lesen barang kawalan sebelum serbuan dilakukan.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kita telah membuat serbuan itu dan menganalisa dokumen berkaitan di premis sebelum mendapati ia mencurigakan yang mana pihak premis itu tidak merekodkan pembelian serta gagal menyelenggara dan mengisytiharkannya dalam buku stok seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya pada sidang media di Sentul Utama hari ini.

Tambah Ariffin, pemilik premis setor LPG itu merupakan pemegang lesen runcit barang kawalan (LPG) yang sah sehingga 25 Oktober ini.

“Hasil semakan dokumen pembekalan Gas LPG sejak Januari sehingga Jun ini, kita mendapati peniaga berkenaan gagal merekodkan pembelian melibatkan 345 transaksi yang berjumlah RM1.7 Juta,” katanya lagi.

Malah jelas beliau, pihaknya akan membuat semakan semula pelesenan yang dimiliki oleh syarikat ini jika terdapat pelanggaran yang dilakukan oleh pemilik premis.

“Ini kerana, maklumat awal dipercayai premis berkenaan terlibat dalam kesalahan aktiviti pembekalan gas LPG bersubsidi yang sepatutnya untuk kegunaan runcit kepada pihak ketiga iaitu perindustrian bagi tujuan penyelewengan di sekitar Lembah Klang.

“Ketirisan subsidi bagi kes ini dianggarkan RM1 juta berdasarkan analisa awal yang dilakukan oleh pihak KPDN,” katanya.

Tegas Ariffin, perbezaan ketara harga LPG bersubsidi dengan LPG industri menjadi faktor utama pihak sindiket mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan peribadi.

“Kita memberi amaran kepada mana-mana pihaksupaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan oleh kerajaan,” tambahnya.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama dengan Peraturan 13(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Siasatan juga akan diteruskan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast