Pengerusi Proklamasi Orang Melayu (POM), Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media berkenaan Proklamasi Orang Melayu di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang. Foto FAREEZ FADZIL, 28 JUN 2023.

SEPANG – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Jelas Mahathir, biarpun tidak bertanding beliau akan memberikan sokongan secara aktif kepada Proklamasi Orang Melayu.

“Saya tidak akan bertanding untuk PRN negeri tapi saya akan aktif menyokong pergerakan Orang Melayu di negara ini. Mereka takut negara ini akan dijadikan milik orang lain bukan lagi negeri orang Melayu.

“Mereka nak jadikan negara ini sebagai negra pelbagai kaum dan semua tolak orang Melayu dan menjadi lebih miskin, jadi objektif saya bukan untuk menjadi Perdana Menteri lagi sekali,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan akan mengadakan pilihanraya negeri setelah Dewan Undangan Negeri masing-masing telah dibubarkan.

Negeri Sembilan menjadi negeri terakhir terbubar pada 1 Julai depan.

Dalam sidang media sama, Mahathir turut berkata, beliau belum bertemu dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perjumpaan itu bertujuan untuk menerangkan kepada Muhyiddin mengenai pergerakan Proklamasi Orang Melayu yang mendapat sokongan daripada Muhyiddin.

“Sebelum Raya Haji agak sukar kerana esok adalah hari raya, saya nak jumpa dengan Muhyiddin untuk jelaskan pergerakan Proklamasi Orang Melayu.

“Ini bukan untuk sokong sesiapa, ia untuk sokong orang Melayu secara keseluruhannya kerana kita lihat orang Melayu hilang kawalan terhadap negara ini dan mereka akan menderita sekiranya tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir negara ini,” katanya lagi.

Awal bulan ini, Mahathir menyatakan pendirian untuk mengadakan pertemuan dengan Muhyiddin dengan misi kembali bekerjasama sekiranya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat yang sama.

Malah Mahathir turut berkata, pihaknya sedia untuk bekerjasama dalam PRN di enam negeri dan percaya perkara itu boleh dibincangkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.