KUALA LUMPUR – Pergerakan Wira Putra mengingatkan pemimpin yang memperjuangkan agenda nasional Melayu Islam agar tidak terlalu angkuh dan sombong jika benar-benar mahu penyatuan orang Melayu menjadi kenyataan.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif menegaskan, kenyataan Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) parti Bersatu semalam contohnya, mampu mencalar dan mengguris usaha penyatuan orang Melayu dan Islam yang sedang dibina demi kepentingan masa depan anak bangsa yang semakin meruncing.
“Jika menyentuh soal kesatuan umat Melayu dan Islam, seeloknya jangan menunjukkan sifat sombong dan angkuh.
“Ini kerana setiap gerak kerja penyatuan tersebut diperhati dan dinilai oleh semua orang, lebih lagi mereka yang atas pagar dan musuh yang anti-nasionalis Melayu Islam.
“Usaha penyatuan yang sedang dilakukan adalah dalam konteks yang lebih luas dan besar, bukan sekadar dalam ruang lingkup kepartian dan politik jangka masa pendek sahaja.
“Jadi, jangan memandang rendah kepada sokongan mana-mana kumpulan parti atau badan bukan kerajaan berteraskan Melayu dan Islam. Dalam keadaan genting seumpama ini sepatutnya di elakkan dari menyakitkan hati orang Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan seorang anggota MPT Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang dilaporkan berkata, Perikatan Nasional (PN) sedia menerima Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Putra jika keduanya mahu menyertai gabungan tersebut.
Beliau berkata, perkara itu boleh dipertimbangkan oleh PN, tapi bersyarat iaitu hanya boleh menyokong, bukan minta kerusi.
“Jika Pejuang dan Putra mahu sokong PN kita terima, tapi jika kerusi yang diminta sebagai syaratnya, maaf. Kalian perlu sedar diri setelah kalah teruk dalam PRU15,” kata Muhammad Faiz.
Nasrul Ali Hasan meminta pemimpin berkenaan membuka mata dan jiwa melihat kembali sejarah sebelum ini, membuktikan kerjasama semua pertubuhan dan kumpulan orang Melayu pada 1946 telah membawa kejayaan besar bagi survival orang Melayu sehingga pemerintahan Malayan Union dikuburkan.
“Langkah seumpama ini memerlukan pengorbanan, kerjasama dan merendahkan ego demi kepentingan masa depan anak bangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
Suruh bersatu gerak solo.. tengok banyak mana kerusi dia boleh dapat..
Jika BERSATU tolak bergabung.. PEJUANG dan PUTRA boleh “GERTAK” untuk menjadi GABUNGAN BN bersama ZAHID HAMIDI… Biar PN rasa CUAK hahaha hahaha