KUANTAN – “Orang yang tak mampu pun boleh ambil bahagian dalam ibadah korban.”
Itu kata Ghazali Ali, 59, salah seorang peserta ibadah korban anjuran Surau Ar-Rahman, Kampung Peramu, di sini.
Menurutnya yang lebih mesra dipanggil Zali, dia dan adik beradiknya menyertai ibadah korban tahun ini dengan bayaran secara ansuran bulanan kepada pihak urusetia surau tersebut sejak setahun lalu.
“Sini buat kaedah pembayaran mudah untuk mereka yang kurang berkemampuan dengan konsep ala kutu, mereka boleh membayar RM60 sebulan setiap orang. Jadi, cukup masa mesti cukup jumlah tu.
“Maksudnya orang yang tak mampu pun boleh ambil bahagian. Hanya RM60 sebulan dapat melaksanakan ibadah korban. Yang nak buat bayaran secara tunai tu buat lah, yang tak mampu tu boleh bayar bulanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zali memberitahu, semakin ramai yang menyertai bahagian korban tahun ini berbanding tahun lepas dan ramai juga yang bukan daripada kalangan komuniti di sini.
Katanya, antara faktor ia berlaku adalah ekoran pengurusan pihak urusetia yang memudahkan peserta untuk mengambil bahagian dan kemeriahan sambutan di sini.
Malah, menerusi tinjauan MalaysiaGazette padi tadi juga, sambutan dilihat amat menggalakkan daripada penduduk tak kira peringkat umur yang memakai pakaian sedondon.
“T-shirt yang dipakai sedondon ni ditaja oleh adik beradik supaya tambah kemeriahan. Bukan sekadar baju, tudung dan topi pun ditaja,” kata seorang lagi peserta, Abdul Manan Osman, 61.
Abdul Manan berkata, tahun ini dia sekeluarga bersama keluarga tiga adik beradiknya seramai 21 orang mengambil bahagian mengorbankan tiga ekor lembu.
“Saya sudah lapan tahun mengambil bahagian ibadah korban dengan komuniti Peramu ni. Baru tahun ini lah kami kumpul penglibatan tiga keluarga ni, untuk tiga ekor lembu.
“Kami tiga keluarga adik beradik ni dah berpakat awal-awal, kumpul duit secara bulanan untuk buat sekali tahun ini,” katanya ceria.
Walaupun seronok dengan kemeriahan sambutan hari ini, tetapi katanya pengertian ibadah korban tetap diterapkan kepada generasi muda terutama apabila anak dan cucunya juga hadir di sini.
Sementara itu, turut mengambil bahagian korban 22 ekor lembu di Surau Ar-Rahman ialah Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.
“Saya pun sebenarnya tahun pertama bersama dengan komuniti Peramu di sini sebab sebelum ini saya uruskan sendiri di tempat saya.
“Di sini (Peramu), saya difahamkan sambutan setiap tahun sangat menggalakkan. Jadi hari ini kita ambil semangat atau aura masyarakat setempat bersama-sama melaksanakan ibadah korban,” katanya.
Beliau yang teruja dengan sambutan menggalakkan oleh peserta ibadah korban di sini memberitahu semakin ramai anak muda sedar berkenaan pengertian korban dan mengambil bahagian setiap tahun, bukan sekadar suka-suka.
“Mereka tahu, pendedahan dibuat oleh para ulama dan ustaz tentang kepentingan korban. Jadi kita nampak setiap tahun peningkatan bahagian, peningkatan jumlah lembu yang dikorbankan.
“Dan mereka ketika ini masing-masing berebut untuk melaksanakan ibadah korban dan saya rasa ini adalah faktor kefahaman mereka semakin meningkat,” ulas Wan Razali lagi.
Sebanyak 22 ekor lembu dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha anjuran Surau Ar-Rahman, Kampung Peramu, di sini membabitkan 154 orang peserta. – MalaysiaGazette