Pilihan raya enam negeri bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
PULAU PINANG – Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, Goh Choon Aik mengakui bahawa gabungan PH-BN akan berdepan pertarungan sukar di 11 kerusi negeri di Pulau Pinang.

Beliau berkata, selain 11 kerusi sukar itu, Kerajaan perpaduan juga berdepan empat kerusi kelabu di Pulau Pinang.

Walau bagaimanapun, Choon Aik tidak berpendapat BN-PH akan kecundang di empat kerusi kelabu tersebut kerana kegagalan di situ mungkin menandakan kekalahan Kerajaan Perpaduan di Pulau Pinang.

“Saya tidak bersetuju dengan analisis bahawa kami akan kalah di kawasan campuran seperti Machang Bubok.

“Jika kami kecundang di Machang Bubok, maka ia mungkin menandakan keadaan sama di Sungai Pinang, Datok Keramat dan Pantai Jerejak.

“Machang Bubok mempunyai 50 peratus pengundi Cina iaitu lebih banyak berbanding dengan kerusi Sungai Pinang yang ditandingi DAP yang mempunyai 40 peratus pengundi Cina.

“Secara umumnya, komposisi kaum di Machang Bubok, Sungai Pinang, Datok Keramat dan Pantai Jerejak adalah hampir sama,” katanya kepada Kwong Wah Yit Poh.

Menurut Choon Aik, jika analisis bahawa Kerajaan Perpaduan akan kecundang di empat kerusi itu adalah betul, maka keadaan itu juga bermakna PN  menghampiri hasrat untuk menguasai Pulau Pinang.

“Dengan 11 kerusi di kawasan Melayu dan empat kerusi di kawasan campuran, PN mungkin hanya memerlukan beberapa kerusi lagi untuk berkuasa, ” katanya.

Beliau bagaimanapun percaya pada ketika PN mempunyai kelebihan di kawasan Melayu, PH masih boleh mempertahankan kawasan campuran yang mempunyai ramai pengundi bukan Melayu.

Katanya, PH Pulau Pinang mendapat lebih 90 peratus undi orang Cina dalam pilihan raya umum lalu manakala undi orang India turut mengukuhkan lagi sokongan yang diterima PH walaupun tahap sokongan kaum itu dikatakan berubah-ubah sejak 2008.

“Berdasarkan keputusan pilihan raya umum tahun lalu, PH Pulau Pinang sepatutnya mampu mempertahankan kawasan campuran,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast