Richmond Boakye-Yiadom. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Selangor melengkapkan kuota sembilan orang pemain import apabila membawa masuk pemain skuad kebangsaan Ghana, Richmond Boakye-Yiadom dalam  memantapkan jentera serangan kelab tersebut.

Menurut laman sesawang rasmi Selangor FC, pemain itu merupakan penyerang yang memiliki pengalaman luas beraksi dalam saingan liga bola sepak di Eropah.

Memulakan kariernya bersama kelab Serie A iaitu Genoa di musim keduanya menyaksikan dia telah dipinjamkan ke Sassuolo sehingga membawa kelab tersebut muncul juara Serie B.

Boakye-Yiadom  telah menjaringkan 11 gol dalam 32 perlawanan bersama pasukan tersebut.

Pemain berusia 30 tahun tersebut juga pernah menyarung jersi Atalanta, Elche (Sepanyol) dan Red Star Belgrade serta turut berkelana ke China untuk bersama Jiangsu Suning pada tahun 2018.

Di peringkat antarabangsa pula, dia membuat 19 penampilan antarabangsa yang menyaksikan dia beraksi pada dua perlawanan kelayakan sehingga Ghana layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Mengulas mengenai kehadiran ke Selangor, Boakye-Yiadom bertekad mahu memberikan sumbangan berkesan buat pasukan yang kini berada di tangga kedua Liga Super Malaysia 2023 itu.

“Saya akan berlatih bersungguh-sungguh, berikan komitmen yang besar kepada pasukan untuk mendapat kemenangan bersama.

“Bagi saya tanpa peminat, tidak wujudnya pasukan. Saya di sini untuk menjadi sebahagian daripada peminat dan kelab. Untuk mencipta sejarah dan meninggalkan legasi.’’

“Saya juga berhasrat untuk membuka peluang membuat sesuatu yang lebih baik supaya pemain dari Ghana dan Afrika akan mempunyai lebih banyak peluang untuk bermain di sini,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast