KUALA LUMPUR – Isu air tidak terhasil (NRW) bukan sahaja menjadi masalah di Kelantan malah berlaku juga di negeri lain.
Bezanya negeri lain telah menangani masalah itu sejak sekian lama bahkan meningkatkan lagi usaha bagi mengatasinya.
Menurut bekas Exco Dewan Pemuda Pas Malaysia, Nazman Che Iberahim, di Kelantan, permasalahan itu sudah ketinggalan sekitar 15 tahun.
Ditambah lagi sekatan peruntukan kewangan daripada kerajaan Pusat bagi membolehkannya bergerak ke hadapan, katanya.
“Akhirnya berlakulah keadaan yang disebut dalam pengurusan sebagai lost development years. Maknanya, keperluan semasa ketika 33 tahun dahulu bukan sahaja tidak mencukupi tetapi semakin dimamah usia menjadikan aset yang ada usang dan uzur.
“Maka terjadilah NRW yang semakin membesar di mana Kelantan mencatat hampir 52 peratus,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Justeru, kata Nazman, isu masalah air di Kelantan telah diberikan penjelasan berulang kali tetapi kebanyakan pemain isu sengaja mahu menimbulkan kegawatan mengenainya.
Menurutnya, NRW adalah punca, akibat dan rantaian dan putaran kepada masalah berkenaan.
“Sedangkan bersama pergerakan masa, keperluan atau permintaan air bersih atau air terawat di Kelantan semakin meningkat selaras pertambahan penduduk dan pembangunan melibatkan pembukaan kawasan baharu.
“Setakat 2020, keperluan air terawat adalah sebanyak 512 juta liter sehari (JLH) untuk hampir 1.8 juta penduduk, tetapi dianggarkan dalam beberapa tahun terdekat ini jumlah keperluan itu meningkat kepada 800 JLH.
“Kelantan juga sedang rancak membangun dengan menerima pelabur baharu dan tambahan pelaburan serta pembukaan bandar baharu, tetapi keupayaan setakat semasa hanya mampu mengeluar air 484.5 JLH,” katanya.
Itu pun, ujar beliau, hasil dari loji rawatan air dan segala peralatan serta pembaikan dan penukaran termasuk naik taraf telah dibuat setakat Mei lalu.
Namun dengan NWR yang tinggi, jumlah air yang sampai kepada pengguna hanya sekitar 250 JLH.
“Jadi, bagaimana mungkin cukup dengan keperluan, apatah lagi untuk memenuhi permintaan hari mendatang yang semakin meningkat?
“Jika aspek pemprosesan sahaja ditambah dan dinaik taraf ia tidak menyelesaikan masalah.
“Kerana komponen penyaluran atau pengagihan juga sangat berkait rapat dan penting di mana melibatkan tangki dan jajaran perpaipan. Ada yang mempersoalkan kenapa tidak digunakan sahaja lori tangki?” soalnya. – MalaysiaGazette