Dr. Nik Azlida Husain

SHAH ALAM – Persatuan Gabungan Islam Selangor (Gasis) menyambut baik cadangan kerajaan negeri untuk membantu menyelesaikan kemelut dihadapi Sekolah Islam Persendirian (SIP) dengan pihak berkuasa tempatan (PBG) dan beberapa pihak lain.

Pengerusinya, Dr. Nik Azlida Husain berkata, dalam perjumpaan dengan Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni baru-baru ini, kerajaan negeri bersedia membantu menyelesaikan isu pendaftaran SIP.

Kata beliau, kaedah yang disyorkan Exco berkenaan amat menyenangkan hati dan menggembirakan semua pihak gabungan Gasis.

“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohd Zawawi kerana telah membantu dan memberikan satu penyelesaian yang menyenangkan hati dan semua ahli gembira dengan syor berkenaan.

“Antaranya, kerajaan memberi jaminan murid SIP akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) serta boleh memohon bantuan daripada Jakim, SUK, Lembaga Zakat dan bantuan awal persekolahan.

“Kita bawa isu ini adalah untuk menangkis persepsi pihak luar bahawa SIP lebih mementingkan perniagaan dari pendidikan.

“Kami bukan pentingkan perniagaan, sebaliknya pentingkan keperluan anak murid dalam pendidikan agama Islam,” katanya.

Dalam perjumpaan itu, Mohd Zawawi mencadangkan garis panduan lebih mudah supaya SIP Selangor dapat beroperasi berikutan kebimbangan lebih 20,000 pelajar Islam terancam dan akan hilang tempat belajar mereka.

Kata Exco itu, pertemuan berkenaan bertujuan membincangkan proses pendaftaran bersama dengan PBT, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Mengulas lanjut, Dr. Nik Azlida melahirkan rasa kesal dengan sikap PBT yang menyulitkan keadaan apabila ada sekolah SIP hendak memperbaharui Sijil Pendaftaran Sekolah.

Ujar beliau, pelbagai karenah birokasi dihadapi pihak sekolah SIP yang dikatakan sentiasa berubah antara PBT di negeri itu.

“Mereka seperti tiada kata sepakat, lain Majlis Perbandaran lain caranya, ini lebih menyukarkan kami untuk memperbaharui sijil pendaftaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast