KUALA LUMPUR – Lapan kilang perindustrian dan satu stor simpanan barangan musnah sepenuhnya manakala dua lagi rosak teruk dalam satu kejadian kebakaran yang berlaku di Kawasan Perindustrian Budiman, Cheras di sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, kejadian kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2 pagi tadi dan tidak melibatkan mangsa.
Katanya, terdahulu bilik gerakan operasi negeri telah menerima panggilan awam mengadu mengenai kebakaran yang tercetus di kilang perindustrian pukul 2.15 pagi tadi sebelum pasukan pertama tiba kira-kira 23 minit kemudian ke lokasi kejadian kebakaran itu.
“Seramai 48 anggota bersama 10 jentera dan empat lori tangki air bersama sebuah ambulans dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn, BBP Serdang, BBP Pandan, BBP Kajang, BBP Bangi, BBP Petaling Jaya, BBP Shah Alam dan BBP Cyberjaya dikerahkan ke lokasi untuk usaha memadam kebakaran tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pagi hari ini.
Tambah beliau, siasatan pihaknya di lokasi mendapati kebakaran telah bermula daripada empat kilang di kawasan berkenaan yang kemudian merebak ke kilang lain yang terletak berhampiran.
Setakat ini katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan terlibat dalam insiden kebakaran tersebut dan nilai kemusnahan harta benda masih dalam siasatan lanjut.
“Api merebak dengan pantas berikutan pengubahsuaian kilang dan kedudukan yang rapat, kilang-kilang yang terlibat juga padat dengan bahan yang mudah terbakar.
“Lapan premis kilang yang didapati musnah sepenuhnya 100 peratus dalam kebakaran awal pagi itu adalah sebuah stor simpanan barang acara dan tujuh kilang melibatkan kilang barang plastik, kilang model rumah, kilang tembakau, kilang penghasilan perabot dan tilam, kilang audio kereta dan kilang makanan kucing.
“Bagaimanapun, api dapat dikawal sepenuhnya pada 4.37 pagi tadi dengan kerja-kerja memadam api di lokasi masih berjalan dan siasatan dimulakan untuk mendapatkan punca sebenar yang menyebabkan berlakunya kebakaran besar itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette