KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar lebih berwaspada dan tidak terjerat dalam perangkap sindiket penipuan yang menggunakan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ‘memancing’ mangsa mereka.
PDRM dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengesan satu helah sindiket penipuan yang mewujudkan sebuah laman sesawang dengan menggunakan gambar halaman Portal Rasmi PDRM bagi memperdaya orang ramai.
“Siasatan lanjut mendapati halaman tersebut memaparkan notifikasi ‘Your browser has been locked!’ yang mendakwa kononnya anda sebagai pengguna internet telah melayari laman sesawang berunsur lucah, propaganda, keganasan dan lain-lain,” kata PDRM dalam laman sesawang Facebook rasminya hari ini.
Tambah PDRM, pengguna seterusnya diminta oleh sindiket berkenaan membayar sejumlah wang secara dalam talian tersebut.
“Sindiket itu juga didapati mengugut bahawa kandungan di dalam peranti yang digunakan akan musnah jika pelanggan gagal membuat pembayaran, bersama ugutan bahawa sepasukan anggota polis akan datang membuat tangkapan ke atas mereka,” katanya lagi.
Oleh demikian, PDRM menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya menemui laman sesawang yang mencurigakan. – MalaysiaGazette
Ugutan scammer ni macam sama dan serupa dengan kata pencadang Menteri Komunikasi Malaysia je dalam KES TikTok dia .. siapa yang ajar scammer ni???