KUALA LUMPUR – Hati-hati dengan taktik baharu sindiket penipuan yang kini menyasarkan pemilik restoran untuk menipu dan memeras wang.
Terkini dalam satu kejadian di Jalan Kuchai Lama, Seri Petaling di sini seorang pemilik restoran makanan nyaris terjerat kepada kegiatan licik sindiket yang menyamar sebagai pelanggan dan mendakwa begnya tertinggal dalam premis mangsa.
Ini kerana dua individu yang disyaki sebagai scammer itu secara tiba-tiba muncul di premis dengan alasan telah tertinggal beg silang di restoran berkenaan beberapa hari lepas.
Mereka mendakwa ada wang dan barang berharga yang hilang dalam beg silang tersebut dan mengugut pemilik premis untuk membayar kerugian kerana cuai.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ma, 65, berkata, semasa kejadian pada 23 Jun lalu, pekerja premisnya telah menjumpai sebuah beg silang yang disyaki ditinggalkan pelanggan atas meja makan.
Katanya, pemeriksaan dalam beg itu mengandungi RM100 dan diserahkan kepada juruwang agar disimpan untuk diserahkan sekiranya ada pelanggan yang menuntutnya nanti.
“Bagaimanapun, tiga hari kemudian dua individu disyaki tempatan berusia lingkungan 35 tahun muncul ke restoran dan mendakwa beg silang mereka yang tertinggal itu.
“Selepas itu, dua individu itu mendakwa kononnya di dalamnya ada wang tunai lebih RM3,000 dan rantai emas berharga yang didakwa hilang dalam beg berkenaan.
“Saya terkejut dengan dakwaan dua invidividu itu sebelum menjelaskan tiada jumlah wang sebesar itu serta rantai emas dalam beg itu namun dua lelaki berkenaan tiba-tiba mengajak saya untuk ‘selesaikan tepi’ secara private dengan minta saya membayar wang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Pemilik Restoran dan Bistro, William Lee.
Ma juga menambah, dua lelaki itu kemudian tidak puas hati dan mengugut mahu membuat laporan polis.
Mereka juga mengugut semua pekerja asing di premisnya akan turut ditahan polis jika Ma enggan menyelesaikannya secara baik dengan membayar wang yang diminta.
“Saya juga telah meminta dua individu itu supaya membuat laporan polis sekiranya tidak berpuas hati dan seandainya dakwaan mereka sahih dan benar,” katanya.
Dalam pada itu, William mengingatkan semua pemilik restoran agar berwaspada dengan penipuan dan pemerasan wang trend baharu itu.
“Kami percaya ini adalah taktik baharu sindiket yang digunakan untuk memeras wang daripada mangsa dan nasihat kami kepada pemilik restoran jangan mudah terjerat dalam taktik sindiket itu,” katanya.
Dalam pada, itu Michael pula menggesa para pemilik restoran yang menjadi mangsa sindiket penipuan berkenaan agar tampil segera melaporkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan.
“Jika anda jujur, tidak perlulah risau dengan gertakan dan ugutan sindiket penipuan itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette