Live Papagomo dengan Wan Mahussin dalam media sosial kelmarin.

KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Wan Mahussin Wan Zin hari ini mengesahkan dipanggil polis Bukit Aman sebagai saksi tuduhan Papagomo mengenai Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi telah menipu Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH).

Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri membuat tuduhan itu dalam siaran live berdebat dengan Wan Mahussin menerusi media sosial dua hari lalu.

“Saya baru dihubungi pegawai Polis Bukit Aman untuk diambil keterangan terhadap kenyataan Azri yang mendakwa Zahid Hamidi menipu Agong semasa siaran live saya dan Papagomo.

“Saya dipanggil sebagai saksi,” katanya menerusi hantaran Facebooknya kira-kira lapan jam lalu.

Dalam live tersebut, Papagomo yang kini tidak lagi bersama UMNO telah membuat dakwaan berkaitan penubuhan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

Beliau mendakwa, Presiden UMNO telah menipu Seri Paduka sehingga PH-BN berjaya membentuk Kerajaan Perpaduan.

Wan Mahussin memuatnaik tangkap layar komunikasinya dengan seorang pegawai polis Bukit Aman mengenai kenyataan Papagomo.

Dakwaan itu bagaimanapun disanggah oleh Wan Mahussin dalam perdebatan itu.

Berikutan itu, polis Bukit Aman telah membuka kertas siasatan dan memanggil Wan Mahussin sebagai saksi.

Wan Mahussin dalam status Facebooknya memuatnaik kata-kata, “Saya jadi saksi. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak benci kan jadi sayang,” tulis beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast