PETALING JAYA – Semua jawatan yang dipertandingkan dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada masa akan datang termasuk jawatan presiden hanya terhad kepada tiga penggal sahaja.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan ia antara antara ketetapan yang dimuktamadkan dalam Kongres FAM kali ke-59 hari ini.
“Dalam kongres pada pagi tadi kita telah membincangkan beberapa perkara penting termasuk perubahan dan pindaan beberapa statut yang dipersetujui oleh rakan kongsi persatuan atau kelab bola sepak setiap negari yang menganggotai FAM.
“Antara pindaan statut yang dibuat adalah setiap ahli eksekutif (exco) hanya boleh meraih satu undi saja bagi setiap ahli gabungan.
“Pada masa sama, kongres juga meluluskan pindaan statut iaitu semua jawatan tertinggi dalam FAM termasuk jawatan presiden dihadkan kepada hanya tiga penggal bermula dari tahun 2025 nanti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Diminta mengulas lebih lanjut mengenai pengundian dua perwakilan dihadkan kepada seorang dan jawatan presiden bertahan kepada tiga penggal dalam FAM, Yusoff berkata, kongres hari ini membuat perubahan dalam statut FAM.
“Dalam kongres pagi ini, FAM telah membentangkan satu pindaan statut yang mana biasanya sebelum ini kita lazimnya membenarkan dua perwakilan daripada setiap persatuan dan kelab bola sepak negeri atau pemegang taruh mengundi sebagai delegasi dalam kongres tahunan.
“Akan tetapi kali ini kita ikut dalam statut membuat pindaan supaya mengikuti peraturan dan standard yang ditetapkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang mana selepas ini walaupun setiap persatuan diwakili dua perwakilan ke kongres tetapi hanya seorang atau satu pengundian sahaja dibenarkan ikut pindaan terbaharu yang diluluskan kongres hari selaras dengan FIFA.
“Begitu juga pindaan statut satu lagi yang menyaksikan segala jawatan tertinggi dalam FAM hanya boleh dipegang selama tiga penggal sahaja (tiga penggal berturut-turut atau berselang) bermula daripada jawatan presiden, timbalan, naib presiden, barisan Exco dan sebagainya,” katanya.
Malah untuk jawatan presiden terdapat terma lain yang mana seseorang yang bertanding sebagai calon presiden mesti menang dengan memperoleh undi dua pertiga jika ada pertembungan tiga penjuru.
“Atau kalaulah ada dua calon sahaja, dia mesti menang dan memperoleh 50 undi tambah satu untuk menang sesebuah jawatan yang ditandinginya,” tegasnya.-MalaysiaGazette