KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain membuka akuan sebagai pengguna TikTok untuk mendekati rakyat dan juga anggota warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau telah memulakan penggunaan Tik Tok itu dengan membuka akuan pengguna bernama @igrazor secara rasminya.
Segala aktiviti dan program yang dilaksanakan oleh PDRM dikongsi Razarudin kepada pengguna dan akaun itu kini mula meraih pengikutnya yang terdiri daripada orang awam serta anggota dan pegawai PDRM.
Menurut Razarudin, akaun atas nama beliau itu diuruskan sepenuhnya oleh Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) untuk mendekati masyarakat dan selain membuka peluang kepada para anggotanya melihat segala aktivitinya.
Menurutnya, penggunaan Tiktok membuka peluang untuk masyarakat dan anggota dapat sentiasa berhubung dengannya mengenai apa jua aktiviti dan isu berbangkit.
“Ada dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM saya dapati mereka tidak berpeluang untuk jumpa saya, apatah ada juga tidak pernah sampai ke Bukit Aman.
“Sekurang-kurangnya melalui akaun TikTok ini, ia secara tidak langsung dapat memberi ruang luas kepada masyarakat dan anggota PDRM sentiasa untuk berhubung dengan saya tentang apa jua isu berbangkit,” katanya ketika dihubungi.
MalaysiaGazette juga mendapati, sehingga petang tadi, akaun TikTok Razarudin @igrazor yang dimuatnaik dengan gambar beliau yang segak berpakaian uniform celoreng PDRM meraih sebanyak 1,087 pengikut dan disukai lebih 520 pengguna.
Klip video mengenai pesanan beliau dalam mesyuarat khas pertama KPN di Bukit Aman pada Jumaat dikongsi Urusetia KPN Bukit Aman untuk tatapan masyarakat dan anggota yang mengikuti beliau.
Turut dimuat naik adalah video kenangan beliau menaiki kuda yang mengetuai detachment 1,443 anggota dan pegawai PDRM dalam Perbarisan Hari Kebangsaan tahun 2022 di Dataran Merdeka Kuala Lumpur serta klip lawatan kerja beliau ke Markas Tektikal di Sungai Kores, PGA Briged Tengah Johor sempena Aidiladha baru-baru ini.
Razarudin juga menambah orang ramai boleh menyalurkan aduan atau maklumat yang ingin disampaikan kepadanya melalui platform jabatan yang terkait.
“Jika siapa-siapa ingin menyalurkan aduan, pengguna TikTok boleh berbuat demikian dengan menghubungi jabatan yang terbabit selain pelbagai platform jabatan dalam PDRM di laman sosial yang lain,” ujarnya.
Razarudin telah dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 22 Jun dan memulakan tugas rasminya di Bukit Aman pada 23 Jun lalu.
Beliau dilantik secara kontrak ke jawatan tertinggi PDRM itu bertempoh dua tahun sehingga 23 Jun 2025 dan menggantikan bekasnya Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang bersara awal.-MalaysiaGazette