Bekas Menteri Kabinet, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika hadir pada Program Forum "Empowering Youth For A Positive Future" di UCSI University, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 01 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) tidak boleh mengawal penggunaan gel nikotin dalam vape sekiranya tiada undang-undang gantian diwujudkan selepas ia dikeluarkan daripada Akta Racun 1952.

Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Dasar Generasi Penamat (GEG) salah satu perundangan yang perlu diluluskan segera bagi melindungi kesihatan awam.

“Saya berharap begitu (GEG diluluskan) kerana cecair nikotin ini telah dikeluarkan daripada senarai racun sejak beberapa bulan lalu.

“Bila kita buat macam itu, tanpa undang-undang baharu, cecair nikotin dalam vape tidak boleh dikawal.

“Ada perkara serius risiko kesihatan awam yang kita kena hadapi tanpa perundangan. Ia (GEG) kena diluluskan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita di UCSI University hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan KKM akan mengkaji cadangan supaya kawalan penggunaan rokok dan rokok elektronik atau vape dijalankan secara serentak melalui dasar Generasi Penamat (GEG).

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, KKM akan mengambil maklum pandangan semua pihak sebelum Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dimulakan pada 2027.

Katanya, ini kerana kompaun terlalu rendah, hanya sekitar RM500 berbanding dengan cadangan asal RM5,000 dan kini kompaun sedia ada pada peringkat RM1,000.

Ditanya tentang mekanisme lain untuk mengawal nikotin dalam vape, Khairy Jamaluddin berkata, tiada cara lain melainkan undang-undang baharu diperkenalkan.

“Tiada mekanisme yang boleh kawal liquid nicotin dalam vape kerana ia sudah dikeluarkan daripada senarai jadual Akta Racun 1952.

“Apa yang dia perlu apa yang patut berlaku ialah untuk perundangan diluluskan terlebih dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ada perundangan pun tak boleh kawal org merokok di kedai makan? Tak nk ulas ka x menteri kesihatan?

Comments are closed.