JOHOR BAHRU – Air Terjun Gunung Ledang di Tangkak akan dibuka semula kepada orang ramai mulai 8 Julai ini selepas setahun ditutup.
Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) memaklumkan, penutupan Air Terjun Gunung Ledang disebabkan pengambilalihan pengurusan operator sebelum ini selain bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam di kawasan itu.
Menurut PTNJ pembukaan semula kepada orang ramai merupakan usaha kerajaan negeri untuk membawa limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan masyarakat sekitar.
“Bagi memastikan keselamatan terkawal dan tahap kebersihan terjaga, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada 2,000 pengunjung pada satu-satu masa,” menurut PTNJ dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, menurut PTNJ resort bagi penginapan di Air Terjun Gunung Ledang masih belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian.
Menurut kenyataan itu pelawat disaran membawa plastik sampah sendiri atau membelinya daripada pihak PTNJ bagi tujuan membawa keluar sampah masing-masing dari kawasan rekreasi berkenaan dengan tong sampah turut disediakan di luar kaunter pembelian tiket.
Kenyataan itu turut memaklumkan bagi menghargai kesabaran dan penantian orang ramai susulan penutupan air terjun berkenaan, PTNJ akan menganjurkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari bermula Sabtu ini.
Menurut PTNJ pelbagai aktiviti dan pengisian menarik akan diadakan seperti Karnival Tanah Daerah Tangkak, pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, Fun Run, Fun Ride, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, pertandingan karaoke, pertunjukan motorsikal, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.
Perbadanan itu turut bersetuju membenarkan orang awam masuk secara percuma sepanjang tempoh tiga hari karnival itu berlangsung.
Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi PTNJ menerusi talian 069772254 (pejabat), 0137440953 atau 0137440961. – BERNAMA