3R DAP Ir. Khairil Nizam Khirudin paranoia Rafizi peruntukan pembangkang
Khairil Nizam Khirudin

KUALA LUMPUR – Pas menggesa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersikap adil dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak termasuk pemimpin-pemimpin DAP yang menggunakan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) sebagai modal politik.

Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin mendakwa, antara isu sensitif yang dibangkitkan adalah kenyataan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berhubung isu kompaun pakaian kurang sopan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB)-BRI baru-baru ini.

Selain itu, beliau memberitahu, bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua didakwa telah menggelarkan parti-parti nasionalis atau yang dipimpin oleh orang Melayu sebagai korup.

Ahli Parlimen Jerantut itu turut membangkitkan tentang kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kelmarin yang menyebut bahawa undi untuk Perikatan Nasional (PN) akan membawa kemusnahan kepada Pulau Pinang.

“Rakyat harus difahamkan bahawa politik ini bertujuan untuk membangkitkan isu rakyat serta mencari penyelesaian bukannya mewujudkan persengketaan serta kebencian seperti yang dilakukan DAP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pada masa yang sama, Khairil Nizam menegaskan, Pas tidak akan mengikut langkah DAP yang begitu terdesak sehingga sanggup menjadi batu api dengan menyentuh isu sensitif yang didakwa berunsur 3R dalam kenyataan-kenyataan mereka.

“Pas komited memberi keutamaan kepada isu rakyat serta tawaran PN sebagai bahan kempen dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang seperti yang telah ditegaskan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man,” jelasnya. – MalaysiaGazette