KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Sabu akan mengadakan mesyuarat dengan Kerajaan Itali bagi merebut peluang meneroka akses pasaran baharu untuk produk pertanian dalam meningkatkan keseimbangan perdagangan antara kedua-dua negara.
Menerusi kenyataan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) memaklumkan, mesyuarat diadakan sempena lawatan menteri bersama delegasi MAFS bermula hari ini hingga 8 Julai nanti.
Katanya, Mohamad dijadual akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian, Kedaulatan Makanan dan Perhutanan Itali, Francesco Lollobrigida dalam usaha mengukuhkan kerjasama menerusi sektor pertanian termasuk kerjasama ekonomi, pelaburan dan teknikal.
“Selain itu, pertemuan bersama Dr. Qu Dongyu, Ketua Pengarah FAO (Pertubuhan Makanan dan Pertanian) juga akan diadakan bagi perbincangan mengenai isu berkaitan bidang pertanian dan keterjaminan makanan serta nutrisi global, di samping mengukuhkan kerjasama strategik antara Malaysia dan FAO dalam pelbagai sektor berkaitan pertanian.
“Lawatan kerja ini diteruskan ke Budapest, Hungary pada 6 Julai bagi mesyuarat dua hala dengan TYT István Nagy, Menteri Pertanian Hungary dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)dalam bidang pertanian kedua-dua negara,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, pemeteraian MoU berkenaan akan mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam bidang pertanian, meningkatkan kemahiran teknikal serta kepakaran pegawai, memudahcara akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Hungary serta membolehkan kedua-dua negara merangka program-program kerjasama baharu yang bersesuaian.
Katanya lagi, Mohamad turut akan menghadiri Persidangan FAO Ke-43 yang merupakan platform bagi setiap ketua delegasi menyampaikan kenyataan negara di bawah agenda Semakan Keadaan Makanan dan Pertanian.
Jelasnya, tema bagi tahun ini ialah pengurusan sumber air untuk empat yang lebih baik iaitu pengeluaran lebih baik, pemakanan lebih baik, persekitaran lebih baik dan kehidupan ebih baik bagi mencapai Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Mampan.
– MalaysiaGazette