KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan rapi akan dibuat berhubung isu membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) khususnya dakwaan wujud salah laku dan amalan rasuah.
Beliau berkata, secara umumnya, kerja-kerja yang dilakukan jabatan itu berjalan dengan baik namun mengaku wujud beberapa masalah yang perlu diperbaiki.
Anwar juga memberitahu isu tersebut akan dibincangkan pada Mesyuarat Jemaat Menteri pada Rabu ini.
“Saya ingin bagi jaminan bahawa siasatan rapi akan dibuat, tetapi umumnya majoriti petugas-petugas imigresen berjalan dengan baik.
“Cuma ada beberapa masalah, kita akan ada siasatan untuk perbaiki atau kalau ada kesilapan akan diambil tindakan wajar.
“Saya cuba teliti langkah-langkah yang diambil setakat ini dan memang saya lihat Imigresen respon sangat baik dan positif.
“Yang kita harus kenal pasti adalah lompong kecil yang masih tidak mampu membawa perubahan termasuk berdepan beberapa pertuduhan
“Jadi Insya-Allah siasatan rapi akan dibuat dan rancangan awala akan dilakukan pada mesyuarat Jemaah menteri Rabu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada selepas mengadakan lawatan mengejut di KLIA hari ini sebelum menunggu ketibaab Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan pelawat China yang ditahan JIM.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila menteri terbabit dikatakan masuk ke ruangan itu tanpa memohon pas keselamatan.
Perbuatannya dipercayai bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang dinafikan kemasukan ke negara ini sebaik tiba di lapangan terbang.
Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan berita itu. – MalaysiaGazette