Muhammad Fitri Hassan, 24, ditemui lemas di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong, Kedah hari ini.

KULIM – Perkelahan empat sahabat berakhir dengan tragedi apabila rakan mereka ditemui mati lemas dalam kejadian di Pusat Rekreasi Lata Arus Deras Lubuk Buluh, Sungai Sedim di hari ini.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditemui didasar sungai sebelum dinaikkan dengan bantuan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.20 petang sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi.

Mohd Redzuan.

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menetap di Taman Mutiara, Karangan di sini pergi bermandi bersama tiga lagi rakannya pada jam 12 tengah hari.

“Mereka dikatakan bermandi-manda di kawasan Sungai Lubuk Buluh Lata Sedim yang mana ia merupakan kawasan arus deras.

“Ketika sedang bermandi, salah seorang rakan mereka telah tergelincir dan mangsa cuba menyelamatkan sebelum lemas dibawa arus deras.

Mayat remaja berusia 18 tahun itu dihantar ke Hospital Kulim untuk proses bedah siasat.

“Orang ramai yang berada di lokasi membantu menyelamatkan mangsa sebelum mayatnya ditemui di permukaan dasar sungai,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam kes berasingan, Mohd Redzuan berkata, seorang pekerja kedai makanan sejuk beku turut ditemui mati lemas dalam kejadian di Pusat Rekreasi Air Puteh, Junjong di sini.

“Penemuan mayat mangsa berusia 24 tahun yang berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang itu dimaklumkan pada jam 2.43 petang.

“Siasatan lanjut mendapati mangsa ke lokasi berkenana pada jam 1.30 petang bersama rakannya sebelum ditemui mati lemas,” katanya.

Tambah Mohd Redzuan, pemeriksaan ke atas kedua-dua mayat tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim bagi proses bedah siasat dan punca kematian akan dimaklumkan selepas kita terima hasil bedah siasat tersebut,” kata beliau. – MalaysiaGazette