KUALA LUMPUR – “Kenapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) belum dilantik?,” soal pengarah dan pelakon Namron atau Shahili Abdan.

Beliau turut mendakwa CEO baru yang sepatutnya menggantikan Prof Dr Md. Nasir Ibrahim telah dipilih namun sehingga kini masih tiada pengumuman dibuat.

“CEO lama dah lama ditamatkan tugas. Dengar kata dah lama ada nama tapi nama tinggal nama.

“Dah kalau nak charimen (Pengerusi) galas tugas CEO atau ada orang lain yang mahu dilantik, umumkan lah cepat. Nak tunggu apa lagi. Saya bukan apa tadi ada orang call (telefon) cerita pasal benda ni,” katanya menerusi Facebook.

Tambah beliau, pelantikan CEO baru sepatutnya dibuat dengan segera agar industri perfileman boleh berkembang.

“Menteri kena lebih laju buat keputusan baru jentera kerja boleh bergerak laju,” katanya lagi.

Baru-baru ini dilaporkan, Md Nasir memfailkan saman terhadap Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil susulan penamatan kontraknya pada 31 Mei lalu.

Difahamkan surat pemendekan kontraknya ditandatangani oleh Pengerusi Finas, Kamil Ahmad Mohd Othman.

Sementara itu, Namron secara berseloroh mempersoalkan prestasi industri perfileman negara apabila CEO Finas dilihat kerap ditukar.

“Saja nak tanya, Pengerusi dan CEO bersilih ganti, ada perubahan yang berlaku ke? Industri kita bertambah baik ke? Kalau ya bagus lah. Itu yang kita mahu,” katanya. -MalaysiaGazette