KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis awal pagi ini.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pahang, Zulfadli Zakaria, kejadian berlaku berhampiran susur keluar lebuh raya CSR, Felda Chegar Perah.
“Sejurus sampai, bomba mendapati terdapat seorang lelaki merupakan penunggang motosikal tersepit di bawah sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan.
Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan bantuan trak penunda untuk mengalihkan kereta.
Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh petugas kesihatan di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 4.05 pagi.
Susulan laporan, katanya seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Lipis dikejarkan ke lokasi. – MalaysiaGazette