KUALA LUMPUR – “Anda tidak patuh peraturan jalan raya, anda akan disaman dan tiada sebarang pengurangan atau diskaun.”
Itu tegas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berhubung penguatkuasaan secara intensif Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang dilaksanakan sepanjang bulan Julai ini bermula hari ini.
Satu lagi, operasi yang sama diadakan pada waktu puncak ketika warga kota sibuk pergi dan pulang daripada kerja.
Katanya, operasi yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan pematuhan undang-undang jalan raya itu akan dikuatkuasakan di 16 lokasi utama di ibu kota sepanjang hari termasuk pada waktu puncak.
“Apa sahaja kesalahan dilakukan oleh pemandu kenderaan, anda sebagai pengguna jalan raya akan disaman. Selagi mana saya bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur, tidak akan ada diskaun diberikan.
“Apabila kita mahu mendidik masyarakat, kita harus konsisten dan tegas dengan apa yang dilaksanakan terutamanya meningkatkan kesedaran serta budaya mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya pada hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media ketika mengikuti Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur yang bermula hari ini sehingga 31 Julai ini.
Ditanya mengenai lokasi-lokasi yang terlibat dalam operasi penguatkuasaan pematuhan peraturannya, Mohd Shuhaily menambah antara 16 lokasi yang menjadi tumpuan persimpangan Jalan Tun Razak atau Jalan Ampang, persimpangan Jalan Tun Razak atau Jalan Semarak, persimpangan Jalan Ampang atau Yap Kwan Seng, persimpangan Jalan Tunku Abdul Rahman atau Jalan Tun Perak serta persimpangan Jalan Sultan Ismail.
Shuhaily menjelaskan, pelaksanaan operasi terbabit bertujuan untuk memartabatkan undang-undang jalan raya supaya dipatuhi sepenuhnya di ibu kota.
Jelas beliau, hasil penelitiannya, masih terdapat ramai pengguna jalan raya yang tidak menghormati undang-undang terutama pematuhan lampu isyarat dan berhenti di garisan kuning.
“Budaya negatif masyarakat seperti ini di jalan raya perlu diubah supaya keselamatan orang ramai dapat dipertingkatkan dan terjamin setiap masa,” katanya lagi.
Mengulas mengenai penguatkuasaan pada waktu puncak, Shuhaily menegaskan, tindakan undang-undang perlu dilaksanakan setiap masa termasuk pada awal pagi.
“Ini kerana, pengguna jalan raya mengejar masa, maka mereka mengambil kesempatan itu untuk melakukan kesalahan lebih kerap pada waktu puncak.
“Saya difahamkan, ia pertama kali operasi seumpama ini dilaksanakan oleh polis di ibu kota pada waktu puncak, bagi saya waktu puncak atau bukan, kesalahan tetap satu kesalahan.
“Kita sendiri tidak mahu menyusahkan pengguna jalan raya tetapi inilah pengorbanan yang kita perlu sama-sama lakukan demi memartabatkan undang-undang,” katanya lagi.
Shuhaily memberitahu untuk memastikan aliran lalu lintas lancar semasa operasi, dua pasukan polis trafik dikerahkan bertugas iaitu pasukan operasi dan pasukan mengawal lalu lintas.
Selain itu, katanya, operasi memburu pesalah jalan raya melibatkan warga asing turut dijalankan di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti dalam operasi sama. – MalaysiaGazette