Foto Shuib dan isteri baharunya, Watie dalam keadaan menutup sebelah mata yang dipercayai menjadi tuduhan netizen.

KUALA LUMPUR – Pelawak Shuib sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan kematian isterinya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin dengan  Freemason.

Jelasnya, fitnah dilemparkan disifatkan keterlaluan apabila turut mengaitkan banyak pihak termasuk hospital serta doktor yang merawat isterinya itu.

“Saya rasa tuduhan dan fitnah ini sangat melampau serta ekstrem kerana melibatkan arwah isteri saya, pihak hospital (HUKM) dan khasnya doktor yang terlibat.

“Rasanya tak perlu saya beri komen yang panjang. Tunggu sahaja kenyataan dari pihak peguam saya,” katanya menerusi satu kenyataan kepada media.

Shuib atau Shahmira Muhammad, 38, berkata demikian mengulas hantaran seorang pelayar laman sosial yang mendakwa kematian Allahyarham isterinya berkaitan dengan agenda vaksin Covid-19.

Dalam perkongsian tersebut, individu terbabit membuat tuduhan Siti Sarah dipaksa ditidurkan sebagai bukti keberkesanan vaksin, namun akhirnya meninggal dunia.

Kenyataan individu itu dibuat berpandukan sekeping foto Shuib bersama isteri baharunya, Watie yang menutup sebelah mata masing-masing sepertinya sinonim dengan organisasi ‘rahsia’ tersebut.

Lantas tindakan itu dipercayai kononnya sebahagian daripada dakyah pertubuhan dimaksudkan sedangkan itu hanya iklan untuk sebuah kedai barang kemas.

Pada 23 Jun lalu, Shuib yang juga penyampai radio menamatkan zaman duda sebaik bergelar suami kepada ahli perniagaan berusia 35 tahun, Watie Hanifiah.

Sebelum ini, Shuib mendirikan rumah tangga dengan Allahyarham Siti Sarah pada 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Bagaimanapun, Siti Sarah menghembuskan nafas terakhir akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos 2021. – MalaysiaGazette