Penipuan dalam talian menyebabkan ramai yang terpaksa menanggung kerugian. - Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah kerugian RM5,000 setelah ditipu seorang lelaki menyamar sebagai anggota polis di Muadzam shah.

Ketua Polis Daerah Rompin, Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon dari ‘pegawai polis’ kononnya daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin itu pada 28 Jun lalu.

“Panggilan itu bertujuan membincangkan urusan berkaitan jaminan abang kepada mangsa yang telah ditangkap dan ditahan polis.

“Setelah perbincangan dibuat, mangsa diarah membuat bayaran jaminan sebanyak RM5,000 untuk membebaskan abangnya dan boleh menjemput abangnya itu di sebuah bank di Muadzam Shah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azahari berkata, mangsa akur dan membuat transaksi mengikut jumlah yang diarah  ke dalam akaun peribadi milik seorang wanita bernama ‘Nur Ain Sarah’.

Bagaimanapun, setelah pembayaran dibuat, beliau berkata, mangsa gagal menghubungi semula suspek dan membuat keputusan untuk melaporkan kejadian kepada pihak polis di Balai Polis Muadzam Shah semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya menasihati orang ramai agar berhati-hati apabila menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai polis.

Orang awam dinasihati segera membuat semakan di mana-mana balai polis yang berhampiran sekiranya menerima panggilan mencurigakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast