Jenazah tujuh beranak disemadikan di disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir Tiga,malam tadi.

KUANTAN – Tujuh mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Terengganu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad pada jam 10.40 malam tadi.

Jenazah tujuh beranak itu disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir Tiga, Kuantan selepas disembahyangkan di Masjid Ubbudiyah di sini yang dihadiri hampir 300 orang.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Tujuh jenazah itu ialah Karim Abdullah, 39 tahun, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40 tahun.

Manakala lima lagi anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 tahun; Putri Nurerina Natasya, 10 tahun; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 tahun; Putri Aryana Umaira Karim, 4 tahun, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 tahun.

Semua jenazah  dibawa dari  Hospital Sultanah Zahirah Kuala Terengganu  tiba di masjid diiringi Unit Kereta Peronda (MPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.

Ahad lalu, 10 individu termasuk sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Kuantan, Pahang dilaporkan berkelah di Jeram Air Putih pada petang Sabtu, sebelum hilang dihanyutkan kepala air di kawasan itu.

Sehingga berita ini ditulis, dua lagi masih hilang iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati.

Mayat kelapan mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih telah dijumpai kira-kira 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata, mayat Putri Alleya Maisarah Karim, 16, dijumpai pada jarak dua kilometer dari lokasi kejadian – di atas beting pasir pada ketinggian lima meter. – MalaysiaGazette