KUALA LUMPUR – Anak-anak warga polis Kontinjen Kuala Lumpur yang memperoleh kecemerlangan 5A hingga 11A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 dinasihati agar tidak menganggap kejayaan akademik itu segala-galanya.
Sebaliknya, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kejayaan sebenar adalah sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa mereka sebagai anggota polis.
“Adik-adik perlu ingat bahawa pencapaian hari ini bukan satu janji yang mana adik-adik akan berjaya terus dalam kehidupan anda kerana dunia luar jauh lebih mencabar daripada apa yang anda capai hari ini.
“Ini kejayaan akademik sahaja, kejayaan kehidupan masih awal dan jauh dari adik-adik semua maka saya harap jangan mensia-siakan keputusan cemerlang ini yang mana dalam kehidupan akademik ini memang penting tetapi itu bukan janji terus cemerlang.
“Jangan dabik dada dengan keputusan akademik cemerlang (SPM) yang diperoleh hari ini kerana kehidupan kita sebenarnya tidak berlandaskan skor A yang anda dapat sebaliknya A yang berharga adalah menghormati orang tua kita dan itulah A yang anda akan bawa sehingga ke akhir hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 43 orang Anak-Anak cemerlang SPM warga PDRM Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Mohd Shuhaily beliau juga memuji pencapaian dan pengorbanan para pegawai dan anggotanya sambil meminta meneruskan usaha megangkat keluarga di sebalik pelbagai kekurangan.
Pada masa yang sama, beliau meminta anak anak yang berjaya dalam kehidupan suatu hari nanti supaya sentiasa menghormati kerjaya polis yang pernah disandang ibu bapa mereka.
“Kerja-kerja polis yang disandang ibu bapa anda pada hari ini sentiasa mencabar kerana mereka sentiasa dikritik, dilontar pelbagai tohmahan dan sebagainya tetapi bukan semua daripada kita buruk sebaliknya mungkin sebilangan kecil buruk merosakkan kerjaya.
“Kalau anda semua berjaya (kehidupan baik) satu hari nanti diyakini dapat membela nasib kami. Saya tinggal sembilan tahun lagi untuk kerja (polis), kalau anda jadi pemimpin nanti jangan lupa bahawa kerjaya polis inilah menjayakan anda dalam hidup.
“Anda ada tanggungjawab yang masih belum selesai..saya mungkin berjaya dari sudut kerjaya hari ini tetapi belum tentu berjaya sebagai ayah dan ibu…yang duduk di KL cabarannya terlalu besar.
“Maka saya doakan anak-anak melakar kejayaan membanggakan berterusan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk keluarga yang tersayang,” katanya.- MalaysiaGazete