PUTRAJAYA – Sebanyak RM43 juta disalurkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi membuka 2,500 lagi kawasan baharu untuk jualan secara langsung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pembukaan kawasan baharu itu adalah bagi tempoh enam bulan akan datang dan peruntukan tambahan itu telah diluluskan Kabinet minggu lepas.
Beliau berkata, ia selaras dengan usaha bagi membantu rakyat mendapatkan bahan keperluan asas pada harga lebih murah berbanding pasaran.
“Peruntukan tambahan RM43 juta adalah bagi enam bulan terakhir tahun ini, yang mana 5,000 lokasi akan dikenal pasti dan mungkin sasaran 2,500 untuk kawasan baharu untuk jualan langsung.
“Sehingga kini, FAMA sudah melakukan jualan di 523 lokasi kawasan berkepadatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberitahu, FAMA bertanggungjawab untuk melaksanakan jualan langsung di 10,000 lokasi kawasan berkepadatan tinggi di seluruh negara.
Lokasi penganjuran jualan langsung FAMA di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu dijangka dapat dicapai pada suku ketiga tahun depan.
Jelas Ahmad Zahid, inisiatif Jualan Rahmah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan diadakan di 11 lagi kawasan Parlimen dalam masa terdekat bagi melengkapkan jumlah keseluruhan 222 Parlimen.
Menurutnya lagi, sehingga 30 Jun lalu, beliau berkata, Program Jualan Agro MADANI dilaksanakan di seluruh negara membabitkan 52 lokasi di kompleks kerajaan.
“Saya difahamkan ia membabitkan 720 orang usahawan tempatan dengan nilai penjimatan kepada pelanggan mencecah RM320,000.
“Berdasarkan kajian, kita dapati ada sedikit permasalahan mengenai beras dan gula tetapi itu sangat terpencil kerana kedua-duanya adalah barangan kawalan.
“KPDN dan KPKM diarah berbincang untuk membentuk penyelarasan bagi menambah baik jualan murah lebih komprehensif,” tambahnya. – MalaysiaGazette