Pilihan raya enam negeri bakal menyaksikan pertembungan sengit antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) difahamkan sedang membuat ‘tawaran’ kepada beberapa pemimpin MIC yang keluar parti untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas masyarakat India bagi terus memperkasakan komuniti itu.

Menurut sumber kepada MalaysiaGazette, inisiatif ini yang dilakukan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin setelah mendapat ‘restu’ daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menyedari kepentingan undi kaum India di negara ini.

“Apa yang saya boleh cakap, kamu tunggu pengumuman rasmi dalam masa terdekat ini. Siapa dalam jawatankuasa ini, apakah sebenarnya objektif dan lain-lain akan diumum. Yang saya tahu, undi masyarakat India amat penting dan ketika ini ramai juga yang ‘berada atas pagar’.

“Banyak isu yang sedang dihadapi oleh kaum India di negara ini, tidak kira isu kemiskinan, kewarganegaraan atau pendidikan tetapi kebanyakan isu ini seperti tidak nampak adanya penyelesaian sebaliknya lebih banyak politik dan retorik sahaja.

“Pemimpin India juga tidak ramai yang menjadi representasi atau pegang jawatan. Mungkin itu juga punca mengapa PN dengan ‘cepat’ ambil peluang ini dengan menarik pemimpin parti-parti tertentu untuk menyertai mereka.

“Apapun boleh berlaku dalam pilihan raya akan datang, tawaran terbaik dan ikhlas mungkin itulah yang akan jadi ukuran kepada para pengundi kita kelak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi sumber mendakwa, desas desus tentang jawatankuasa khas ini kemungkinan ada benarnya.

Malah jawatankuasa itu akan dijadikan jadi sebuah parti politik bagi kaum India dalam PN jika gabungan itu menang.

“Kerana itu juga anda lihat, ada yang keluar parti tetapi tidak menyertai mana-mana parti politik lain, mungkin mereka sedang berkira mana hala tuju mereka. Pada masa sama, masyarakat India juga perlu didekati.

Sejak beberapa hari kebelakangan ini timbul ‘cerita’ mantan Ketua Pemuda MIC, Datuk C Sivarajh keluar MIC kerana telah mendapat tawaran menyertai PN.

Bagaimanapun Ahli Dewan Negara itu menafikan perkara itu namun mengesahkan beliau ada mengadakan pertemuan dengan Hamzah namun tidak membincangkan isu-isu berkaitan penyertaan ke PN.

“Saya terbaca laporan yang disiarkan sebuah portal berhubung perjumpaan saya dengan Ketua Pembangkang. Ada segelintir pihak yang cuba mentafsirkan laporan tersebut sebagai langkah saya untuk menyertai PN.

“Penjelasan saya sangat mudah. Sebagai seorang Ahli Dewan Negara, saya berhak bertemu dengan mana-mana individu untuk berbincang perkembangan semasa politik tanah air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

MalaysiaGazette juga difahamkan, PN akan memberikan beberapa pemimpin India kerusi untuk bertanding atas tiket gabungan itu pada PRN akan datang.

Namun perkara itu masih lagi samar-samar dan hanya menjadi ‘cakap-cakap’ sahaja tanpa sebarang kesahihan, andainya betul mungkin ada beberapa lagi pemimpin akan keluar parti mereka untuk sertai PN. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast