Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas melancarkan buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN 04 JULAI 2023.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau bukan boneka mana-mana parti politik termasuk DAP.

Jelasnya, keharmonian yang terjalin merupakan kunci utama dalam memastikan Kerajaan Perpaduan kukuh bersama rakan sejawat.

“Saudara, yang menjadi Perdana Menteri itu saya. Saya bukan boneka sesiapa. Umur akan cecah 76 tahun tapi saya tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, jaga keharmonian dengan rakan sejawat itu penting,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam di sini hari ini.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwanya menjadi boneka DAP dalam mentadbir kerajaan.

“Saya bukan mahu pertahankan kawan-kawan DAP. Mereka dalam Jemaah Menteri sudah tujuh bulan tapi mereka (menteri DAP) sekali pun tidak pernah pertikai program untuk orang Melayu dan Islam,” ujarnya.

Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa, Kerajaan Perpaduan akan tumbang walaupun terdapat empat menteri DAP dalam pentadbiran Anwar.

Dr Mahathir berkata, ia boleh berlaku kerana DAP mempunyai seramai 40 wakil rakyat dalam Kabinet hari ini sekali gus kerajaan akan jatuh sekiranya mereka menarik sokongan.

Rentetan itu, Anwar menasihatkan Dr Mahathir untuk tidak meletakkan kegagalan sebagai Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh kepada pihak lain.

“Kalau kamu yang gagal dulu, kamu pimpin berpuluh tahun, itu salah kamu. Bukan salah penyokong kamu.

“Sejarah lalu biarlah berlalu. Bila bercakap soal sejarah, ramai yang terpalit. Mahu cari seseorang yang rekod bersih itu susah, yang cakap bersih ramai tetapi yang menyakau lagi ramai,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast