Mara SPRM sempadan penguatkuasaan
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Tindakan penguatkuasaan perlu diperketatkan di laluan tikus sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi membanteras kegiatan penyeludupan manusia.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Jabatan Imigresen perlu bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan lain untuk meningkatkan pengawasan di sempadan.

Menurut beliau, penggunaan teknologi seperti pengesan gerakan, kamera pengawasan dan sistem pemantauan sempadan perlu dipertingkatkan bagi mengesan dan mencegah aktiviti penyeludupan manusia.

“Kerjasama dan komunikasi dengan pihak berkuasa negara jiran seperti Thailand perlu diperkemaskan untuk bertukar maklumat dan berkerjasama dalam menangani isu penyeludupan manusia di sempadan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jais memberitahu, pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya penyeludupan manusia perlu ditingkatkan dalam kalangan masyarakat tempatan yang tinggal di sempadan serta warga asing.

Beliau menambah, program penerangan dan kempen kesedaran dapat membantu mengurangkan permintaan dan menghalang individu daripada terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Jais turut menyarankan agar Jabatan Imigresen mengeratkan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini akan membolehkan pertukaran maklumat dan koordinasi yang lebih baik dalam pencegahan dan penangkapan sindiket penyeludupan,” jelasnya.

Beliau berkata, pencegahan dan penangkapan sindiket penyeludupan manusia memerlukan usaha berterusan, kerjasama dan komitmen yang kuat daripada semua pihak terlibat. – MalaysiaGazette