KUALA LUMPUR – Perjalanan selama 40 tahun merentasi industri seni bukan satu perjalanan yang singkat.
Apatah lagi bermula dari seorang penyanyi kanak-kanak pada tahun 1983 sehingga menjadi penyanyi solo lelaki berprofil tinggi.
Perlu diakui nama komersil Anuar Zain itu kini mempunyai tempat yang utuh dan khas di hati peminat dan penggemar muzik.
Empat dekad membina legasi dalam industri muzik tempatan, Anuar yang berusia 53 tahun tampil dengan pakej vokal lunak, senyum manis aura dan pesona yang kuat.
Malah dia bertuah kerana untaian lagu-lagu miliknya yang cukup popular dan menerima pelbagai pengiktirafan sepanjang kariernya.
Justeru bagi meraikan sambutan ulangtahun ke-40 tahun dalam industri, Anuar bakal muncul dengan konsert berskala besar iaitu Anuar Zain 40th Anniversary Concert atau AZ40 di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam pada 28 Oktober ini.
Konsert anjuran JioBuddy pastinya merupakan khabar gembira yang dinanti-nantikan oleh seluruh penggemar muziknya yang bukan hanya berada di Malaysia tetapi juga dari negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Saya mengimpikan agar konsert AZ40 ini akan menjadi kenangan yang terindah di antara kita semua pada malam itu nanti.
“Juga menjadi kenangan manis buat semua tenaga kerja dan team produksi yang besar di dalam menjayakan konsert AZ40 ini,” katanya pada sidang media konsert itu di sini hari ini.
Anuar bakal mengalukan lebih 20 lagu rangkaian lagu-lagu popular menerusi tiga segmen di samping beberapa kejutan lain.
Dia berkata, Shah Alam dipilih kerana mempunyai nilai nostalgia apabila membesarkan di sana manakala Stadium Tertutup Malawati pula merupakan lokasi yang sesuai untuk konsert berskala besar kerana kedudukan dalam bentuk empat segi.
Malah, katanya, kapasiti lebih 6,000 orang yang boleh dimuatkan juga mampu memberi keselesaan kepada peminat yang hadir.
Sementara itu, Sean Ng dari JioBuddy berjanji, konsert AZ40 akan menjadi satu lagi lakaran sejarah yang penting buat pelantun lagu Lelaki Ini dalam perjalanan karier seninya yang sentiasa mendapat sokongan positif dari semua pihak.
Katanya, konsert itu juga akan menjadi lambang kematangan perjalanan Anuardalam karrier seninya.
“Anuar Zain 40th Anniversary Concert bukan hanya sebuah konsert biasa tetapi sebagai sebuah biografi untuk meraikan perjalanan seni seorang penyanyi hebat yang panjang bersama semua peminat dan penggemar muzik beliau.
“Konsert ini juga amat penting untuk kami selaku penganjur bagi menyokong industri muzik tempatan,dan memberi yang terbaik kepada penonton mengikut kepakaran kami,” kata Sean.
Dalam pada itu, peminat Anuar boleh mendapat tiket konsert itu yang akan mula dijual pada 12 Julai ini pukul 10 pagi di www.jiotix.asia atau hubungi talian hotline tiket +60 11 5100 3111.
Tiket-tiket jual berharga RM1188 (VIP 1), RM888 (VIP 2), RM488 (Berlian) RM388 (Platinum) dan RM 188 (Emas).
Untuk pembeli tiket pada hari pertama jualan itu, peminat bertuah akan berpeluang untuk memenangi telefon bimbit jenama FreeYond. – MalaysiaGazette