KUALA LUMPUR- Satu sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif perlu dilaksanakan di Malaysia berikutan mekanisme sedia ada yang terhad serta tidak memadai dengan hanya 9.1 peratus penerima manfaat dilindungi berbanding purata 55.1 peratus di peringkat Asia dan 12.8 peratus di tahap global.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kebergantungan usia emas juga terbukti meningkat dengan setiap 10 dewasa yang bekerja perlu menyara seorang warga emas pada 2020 kepada tiga orang dewasa bekerja pada 2050.
“Perubahan itu perlu dibuat sekarang memandangkan kalangan penduduk Malaysia yang berusia 65 tahun dan ke atas kini semakin bertambah berbanding kumpulan umur lain,” katanya dalam ucapan perasmian di Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2023 (ISWC 2023) di sini, hari ini.
ISWC 2023 yang berlangsung selama dua hari ini, dianjurkan bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
Bertemakan ‘Changing the Game: Building the World We Want,’ program itu bertujuan menangani jurang kritikal dalam aspek perlindungan keselamatan sosial selain menyokong hak asas bagi mendapatkan perlindungan sosial.
Mengulas selanjutnya, Amir Hamzah berkata isu kekurangan simpanan turut menjejaskan kesejahteraan persaraan dalam kalangan ahli KWSP.
Dana persaraan itu menggunakan penanda aras dalam menentukan pencapaian simpanan asas mengikut umur iaitu RM240,000 dan menjadi sasaran minimum apabila mencecah umur 55 tahun yang berjumlah RM1,000 sebulan dalam tempoh persaraan selama 20 tahun.
Beliau berkata setakat Mei 2023, hanya 30 peratus daripada ahli aktif KWSP berupaya memenuhi simpanan asas mengikut umur manakala 18 peratus daripada jumlah ahlinya memenuhi nilai ambang sama.
“Oleh itu, kekurangan simpanan persaraan ini adalah sesuatu yang membimbangkan dan membuktikan (masalah) asas dari segi sumbangan seperti struktur gaji rendah, ketidakpadanan atau salah jajaran antara usia pengeluaran penuh dan usia persaraan, caruman tidak konsisten dan kekurangan pekerjaan selain tahap celik kewangan yang rendah.
“Memandangkan keahlian KWSP kini mencecah 15.8 juta orang, kami berusaha untuk melaksanakan strategi jangka panjang bagi mewujudkan impak positif serta memupuk aspek kesejahteraan tersebut,” katanya.
Ini termasuk usaha KWSP yang kini memberi tumpuan dalam memperluas liputan dan meningkatkan simpanan persaraan kalangan ahlinya, kata Amir Hamzah.
Jelas beliau, oleh kerana hanya 56 peratus daripada 16.7 juta tenaga kerja Malaysia mempunyai beberapa bentuk perlindungan sosial formal, KWSP telah memanfaatkan unit bergeraknya bagi menjangkau tujuh juta orang dalam sektor tidak formal dan bekerja sendiri yang berpotensi menjadi ahli KWSP.
Pada masa sama, dana persaraan itu turut meninjau kaedah pendekatan lain, termasuk pilihan pengeluaran pendapatan untuk mengukuhkan tawaran kepada ahli dengan sumber pendapatan tambahan bagi persaraan.
“KWSP juga sedang giat meneliti aspek Tonggak 1 Rangka Kerja Pendapatan Pelbagai Peringkat Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menerusi usaha memperkenalkan caruman wajib persaraan kebangsaan,” katanya.
— BERNAMA