SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukan RM3 juta bagi projek pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari, di sini untuk mengelakkan kesesakan teruk pada waktu puncak.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastuktur dan Kemudahan Awam negeri, Ir Izham Hashim berkata, projek pembinaan dua lorong sepanjang satu kilometer itu adalah langkah jangka pendek dan dijangka siap hujung tahun ini.
“Untuk jangka panjang pula, kita akan tambah satu lagi lorong di kedua-dua hala menjadikan ia tiga lorong memandangkan laluan ini merupakan jalan utama selain lokasi pertembungan dengan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).
“Projek tersebut akan berjalan dua tahun lagi dengan anggaran belanja sekitar RM20 juta termasuk kos utitiliti sekitar 30 hingga 40 peratus.
Bagaimanapun ia akan ditanggung oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor dan syarikat Teguh Mantap yang memajukan kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan pelebaran jalan di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Puncak Perdana, di sini hari ini.
Bermula November tahun lalu ,Kerajaan Selangor telah mengambil langkah proaktif membuka laluan kontra di persiaran berkenaan bagi mengatasi kesesakan teruk di kawasan tersebut.
Ia susulan rungutan lebih 100,000 pengguna berhubung perkara itu terutama ketika waktu puncak selain faktor pembukaan DASH.
Dalam pada itu, Izham turut memaklumkan sejumlah RM5.2 juta dibelanjakan bagi memasang 752 LED di seluruh negeri ini.
“Kos melibatkan dua fasa dengan fasa pertama berjalan tahun lalu membabitkan RM2.3 juta manakala fasa kedua berjumlah RM2.9 juta bermula bulan ini dan dijangka siap hujung bulan.
“Kita mendapat maklum balas yang baik dari pengguna jalan kerana persekitaran lebih terang sekali gus dapat mengelakkan kemalangan dan sebarang kejadian bahaya” jelasnya. – MalaysiaGazette