Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat ‘kacang hantu’ di dua jabatan kerajaan dikecam Pemuda Pas.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari membidas Timbalan Perdana Menteri sambil menegaskan, melempar tuduhan rambang tidak menyelesaikan masalah.

Sebaliknya, Ahmad Fadhli menggesa supaya dilakukan siasatan dan mendakwa mereka yang terlibat kerana ketika ini kerajaan sedia ada mempunyai kuasa untuk melakukannya.

“Kalau nak kira kacang hantu, dalam Kabinet tak ada kacang hantukah?

“Jangan cemarkan nama baik jabatan kerajaan, kami ni pembangkang tapi kami hormat jabatan kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Semalam, Ahmad Zahid dalam satu sidang media dipetik berkata, terdapat ‘kacang hantu’ dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, ‘kacang hantu’ itu perlu dibanteras kerana tindakan kumpulan berkenaan menyebabkan jabatan itu menerima tuduhan yang tidak benar.

Bagaimanapun, beliau berkata, adalah tidak wajar dan adil untuk melakukan tuduhan secara rambang terhadap kedua-dua jabatan tersebut tanpa siasatan terperinci. – MalaysiaGazette

TPM tak tolak kemungkinan wujud ‘kacang hantu’ dalam JPN