PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyerahkan nama seorang pegawainya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikenalpasti terlibat dengan amalan rasuah.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau akan menyerahkan nama pegawai itu hari ini kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Katanya, beliau telah memaklmukan perkara berkenaan kepada Azam pagi tadi untuk melakukan siasatan terhadap pegawai terbabit yang bertugas di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ada nama kita kenalpasti dan akan serah kepada SPRM. Saya dah maklumkan kepada beliau (Azam) untuk membantu proses seterusnya.

“Ini membuktikan bahawa kami di KDN yang berurusan dengan orang awam ini penting untuk mereka tahu bahawa perkhimatan ini penting dan sesuai dengan apa yang rakyat perlukan dan kelulusan (dokumen) tidak membawa kepada apa-apa bayaran,” katanya pada sidang khas di kementeriannya, di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu diketahui selepas pihak yang diminta untuk memberikan sejumlah wang menghubungi beliau.

Jelasnya, setelah disemak memang benar bahawa aktiviti tidak sihat itu berlaku dan kerjasama daripada SPRM untuk melakukan siasatan diperlukan segera.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Jabatan Imigresen Malaysia dan dan JPN sedang disiasat pihak berkuasa berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Anwar dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran tertentu oleh mereka yang layak mendapat status kewarganegaraan.

Pada awal Jun lepas, media melaporkan dua pegawai JPN ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai bersekongkol dengan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid secara haram.

Penahanan itu susulan pendedahan wujudnya sindiket menawarkan pakej menjual bayi tak sah taraf atau bayi pendatang tanpa izin kepada warga tempatan lengkap dengan sijil lahir dan MyKid sah dikeluarkan JPN pada harga serendah RM3,000. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Apa perkembangan terkini dakwaan menceroboh oleh seorang menteri? Sudahkah Dato Ayob selesai menjalankan siasatan terhadap menteri tersebut?

    Menceroboh kawasan larangan KLIA adalah kesalahan undang2 jenayah besar dalam industri penerbangan. Ianya akan menurunkan taraf keselamatan airport oleh badan penarafan antarabangsa. Ianya juga telah mencemarkan nama baik KLIA sebagai airport yang selamat dan terbaik dunia?

  2. KPN disarankan tubuh sebuah pasukan khas untuk special project menjejak dakwaan 1.2 juta pelancung asing yang masuk tak keluar2.

    Inilah masalahnya jika pelancungan dibenarkan masuk tanpa punyai return ticket?

    Kepada yang melindungi pelancung2 tersebut hendaklah dikenakan hukuman paling berat!!!

Comments are closed.