JOHOR BAHRU – Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor mahu kerajaan mengatasi segera dakwaan rasuah melibatkan kakitangan Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Bekas Pengerusi MATTA Johor, Kenny Ngi berkata, jika tidak dilakukan ia dibimbangi menjejaskan imej negara sebagai destinasi tumpuan pelancong antarabangsa.
“Ini kerana kita bimbang warganegara asing termasuk pelancong akan berasa tidak selamat untuk mengunjungi negara ini.
“Insiden berkenaan (dakwaan salah laku dan rasuah) perlu diteliti dan jika benar, tindakan segera perlu diambil untuk memastikan ia tidak terus berlaku, apatah lagi ketika sektor pelancongan sedang pulih daripada Covid-19.
“Di Johor, kami juga pernah terima aduan berhubung perkara serupa turut berlaku dalam tempoh 10 tahun ini, jadi kami berharap kerajaan dapat atasinya dengan segera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Jelas Kenny, kewujudan video-video tular berhubung insiden berbaur fitnah boleh menyebabkan pelancong asing enggan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama mereka.
Sebelum ini, tular gambar dan laporan berita yang mendakwa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing campur tangan dalam urusan melepaskan seorang pelancong dari China.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bintulu itu menafikan perbuatan itu malah mendakwa wujud amalan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan sebilangan kakitangan Jabatan Imigresen yang bertugas di pintu KLIA.
Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatannya ke KLIA Ahad lalu memberi jaminan kerajaan akan membuat siasatan rapi berhubung isu berkenaan.-MalaysiaGazette