Dr Mohd Aleef Yusof

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak perlu memberi pelbagai alasan untuk menangguhkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan (SPK) walaupun Kertas Putih Kesihatan telah diluluskan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Pengerusi Biro Kesihatan, Keluarga dan Alam Sekitar Armada Nasional, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, sekiranya berlarutan, kelak membebankan petugas kesihatan khususnya isu bayaran elaun bekerja di luar waktu pejabat.

“Kerajaan digesa meneruskan penubuhan SPK dengan kadar paling segera bagi menangani setiap masalah yang wujud berkaitan penjawat awam di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tanpa ditangguh lagi.

“Sehingga kini, perjalanan ke arah penubuhan SPK ini begitu lembab sekali. Apakah Dr Zaliha Mustafa masih berminat dan masih mahu berusaha menubuhkan SPK ini?” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Pada 26 Jun lalu, Dewan Negara meluluskan usul Kertas Putih Kesihatan sebagai satu daripada hala tuju reformasi sistem kesihatan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, setiap tahun KKM menjalankan proses penambahbaikan di fasiliti mengikut keperluan serta peruntukan yang diterima.

Beliau berkata, pada masa ini KKM dalam proses membaiki hampir 400 klinik daif di seluruh negara.

Aleef yang juga ADUN Sungai Udang berkata, SPK penting bagi memastikan kerajaan membuat rombakan bayaran elaun untuk jururawat, pegawai perubatan dan pakar perubatan serta tidak terikat dengan dasar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Akan tetapi, cara kerja para jururawat, pegawai perubatan dan pakar perubatan ini berbeza dengan masa kerja normal (waktu pejabat) penjawat awam.

“Saya menyeru supaya Menteri Kesihatan dan kerajaan mempercepatkan penubuhan SPK ini bagi menangani masalah di dalam sektor kesihatan negara,” katanya.

Tambah beliau, SPK mampu menangani masalah kekurangan penjawat awam kesihatan dan mendorong pegawai dan pakar perubatan untuk terus kekal berkhidmat di bawah KKM.

“Saya menyangkal kenyataan Dr Zaliha bahawa gaji seorang doktor dengan gred UD52 mencecah RM17,000 sebulan sedangkan gaji pokok mereka hanya sebanyak RM9,000 sebulan.

“Saya kesal apabila Menteri beri alasan ini meneruskan bayaran elaun sedia ada serendah RM220 (pegawai perubatan) dan RM250 (doktor pakar) yang terpaksa bertugas sehingga 24 jam pada Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Kenyataan tersebut tidak benar dan seolah-olah mahu mewujudkan persepsi negatif di mata masyarakat awam terhadap para doktor di KKM,” katanya. – MalaysiaGazette