Foto yang dikongsi oleh Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing hari ini.

Pertemuan tersebut berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru selama hampir dua jam.

Menurut pentadbir Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, dalam pertemuan berkenaan baginda bertitah Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) perlu ditambahbaik dari segi dasar, insentif dan manfaat supaya ia tidak membebankan.

King Sing berkata, Sultan Ibrahim turut berkongsi serta menyampaikan pelbagai pandangan dan buah fikiran mengenai MM2H.

Beliau berkata, pandangan-pandangan dan idea yang diberikan Sultan Ibrahim mengenai MM2H amat baik dan penting bagi merancakkan sektor pelancongan Malaysia.

“Pada pertemuan bersama DYMM Sultan Johor, baginda telah memberikan banyak idea baik dan saya yakin idea-idea ini boleh dilaksanakan, sekaligus merancakkan ekonomi pelancongan kita.

“Saya akan berbincang bersama Kementerian Dalam Negeri serta pemain-pemain industri berhubung penambahbaikan MM2H serta pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh baginda,” katanya seperti yang dilaporkan Royal Press Office.

King Sing berkata, segala perkara yang dibincangkan akan dibawa sebagai kertas cadangan kepada Kabinet pada bulan hadapan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Raven Kumar Krishnasamy dan Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sultanah Fatimah, Tan Sri Tan Seng Leong. – MalaysiaGazette