Sheikh Umar melawat bazar di Majlis Penutupan Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030 di Johor Bahru, Johor.

JOHOR BAHRU – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan memperkenalkan varieti nanas terbaharu pada bulan depanbagi meningkatkan lagi pengeluaran tanaman tersebut.

Pengeruainya, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kini penyelidikan dan kajian berada pada peringkat akhir dan nama nanas baharu akan diumumkan kelak.

“Produk baharu ini ada kelebihan antaranya dalam masa sembilan bulan yang ditanam sudah boleh dipetik berbanding varieti seperti MD2 yang mengambil masa kira-kira 14 sehingga 18 bulan untuk dipetik.

“Setakat ini kita mempunyai 16 varieti nanas dan semuanya tidak termasuk varieti baharu. Empat daripadanya seperti MD2, ND36, Josapine dan Morris dieksport,” katanya selepas majlis Penutupan Bengkel Pelan Hala Tuju Pembangunan Industri Nanas 2030, di sini, hari ini.

Sheikh Umar memberitahu, LPNM menyasarkan eksport produk nanas negara sebanyak RM1.3 bilion pada tahun ini berbanding tahun lalu berjumlah RM1.2 bilion pada tahun lalu yang merangkumi nanas segar, kaleng, jus, ornamental dan produk lain.

Katanya, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Singapura, Mesir, China, Jepun dan Arab Saudi merupakan antara negara yang mengimport produk nanas negara.

Tambah beliau, bagi merangsang industri itu, kerajaan memperuntukkan RM24 juta pada tahun ini dengan bantuan akan disalurkan kepada pekebun dan pengusaha nanas seluruh negara.

Malaysia ketika ini menghasilkan 400,000 sehingga 600,000 tan metrik nanas setahun, dan daripada jumlah itu kira-kira 0.25 peratus dieksport.

Pada 2021 tanaman nanas di seluruh negara melibatkan kawasan seluas 16,204 hektar dengan nilai pengeluaran mberjumlah RM675.76 juta dengan Johor merupakan negeri penanaman nanas terbesar iaitu seluas 10,211 hektar atau  63 peratus daripada keseluruhan tanaman nanas negara. – MalaysiaGazette