Akmal Nasrullah Mohd Nasir (dua dari kanan) melawat tapak projek PRIMA Residensi Larkin Indah hari ini.

JOHOR BAHRU – Bilangan projek perumahan yang dikategorikan sakit seluruh negara dijangka mencecah 1,000 kes menjelang akhir tahun ini  jika tiada intervensi daripada kerajaan.

Bagaimanapun, kerajaan optimis dapat mengawal projek sakit daripada terus bertambah dan mengekang projek ‘sihat’ menjadi ‘sakit’, kata Timbalan Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

“Kita sekarang ini tengah cuba meredakan keadaan tersebut. Kementerian sekarang cuba selesaikan ataupun melancarkan semula projek sakit dan pada masa sama mengekang pertambahan projek ‘jatuh sakit,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek PRIMA Residensi Larkin Indah hari ini.

Menurut beliau, peningkatan kes projek perumahan ‘sakit’ berlaku disebabkan Akta Covid yang memberi pengecualian lanjutan masa  (EOT) kepada pemaju pada tempoh pandemik Covid-19 yang lalu sudah berakhir.

Sehingga 30 April lalu, sebanyak 481 projek perumahan di seluruh negara dikategorikan sebagai projek ‘sakit’ termasuk 52 di Johor.

Daripada jumlah itu, 118 sedang diselesaikan.

Contohnya Residensi Larkin Indah, telah dimasukkan dalam projek ‘sakit’ kerana telah melangkaui tempoh siap sepatutnya.

“Insya Allah projek ini akan sihat,” tambahnya sambil berharap usaha yang dibuat oleh KPKT itu mendapat kerjasama daripada negeri-negeri.

Sebelum ini Akmal Nasir menyatakan kerajaan akan membantu projek-projek perumahan yang dihentikan sementara pembinaannya semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengelak menjadi projek ‘sakit’ atau terbengkalai.

Sekiranya kerajaan tidak membantu ia dibimbangi akan menjadikan masalah menjadi lebih buruk. – MalaysiaGazette