KLANG – Pusat Dialisis pertama yang diwujudkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memberi sinar kepada para pencarum yang mengidap sakit buah pinggang.
Pesakit buah pinggang tahap 4, Mohamad Thafiq Mohamad Azlan, 35, berkata, pusat dialisis tersebut memberi penjimatan kepada perbelanjaannya yang pada masa sama perlu menanggung keluarga.
“Kalau nak buat dialisis sekali sahaja kena bayar hampir RM400, saya kena buat tiga kali seminggu. Dengan pendapatan saya sebagai pekerja kontrak, ada anak kecil dua orang, khidmat dialisis ini memang membantu saya,” katanya ketika ditemui di Pusat Dialisis Klang yang baru dirasmikan hari ini oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Sementara itu, pesara M. Govindsamy,51, terharu dengan perkhidmatan yang diberikan oleh Perkeso kepada pesakit buah pinggang.
M. GovindsamyKatanya, Perkeso bukan hanya tanggung kos rawatan malah kemudahan pengangkutan dari rumah ke pusat tersebut juga disediakan.
“Saya tinggal lebih kurang dua kilometer sahaja dari sini jadi bila diambil dan dihantar ke sini, ditanggung sepenuhnya memang saya gembira,” katanya yang baharu beberapa bulan disahkan mengidap penyakit itu.
Dalam pada itu, seorang lagi pencarum, Leong Theam Lee,59, berkata, pendapatannya sebagai cikgu lukisan dan isterinya, seorang guru yoga tidak cukup untuk menampung kos kehidupan mereka.
Kekangan itu menyebabkan dia sering menangguhkan untuk membuat rawatan diaisis walaupun sudah tahu mengidap penyakit tersebut.
“Saya baru buat kali pertama dialisis sebab Perkeso sediakan secara percuma. Sebelum ini saya tangguh kerana tidak cukup wang nak buat rawatan cuci buah pinggang di hospital swasta yang lain,” ujarnya.- MalaysiaGazette