FadlyShan Saliman (tengah) dan Siti Nurfatiha ditenangkan penduduk ketika ditemui di Masjid Seri Pengkalan Batu Pahat pagi tadi.

BATU PAHAT – “Saya bersyukur dapat jumpa adik walaupun tidak dapat lihat kali terakhir,” kata FadlyShan Saliman.

Beliau adalah abang sulung kepada Muhammad Fikri Saliman, mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih di Kemaman Terengganu yang berlaku 1 Julai lalu.

FadlyShan yang ditemui kelihatan sebak sambil menitiskan air mata ketika ditanya mengenai kehilangan adik bongsunya.

Menurut beliau, walaupun Muhammad Fikri masih muda, namun cara pemikiran adiknya itu begitu matang menyebabkan dia begitu terasa akan kehilangan allahyarham apatah lagi mereka mempunyai minat yang sama.

“Saya memang rapat dengan dia walaupun dia berumur 23, saya 44 tahun. Dia senang nak buat bincang, pemikiran kami sama. Sama-sama sukakan muzik,” katanya ketika ditemui diperkarangan masjid Seri Pengkalan Batu Pahat pagi tadi.

Istimewanya Allahyarham, tambahnya, suka membantu adik-beradik yang susah.

FadlyShan berkata, mereka sekeluarga cukup bersyukur kerana mayat adiknya akhirnya ditemui semalam.

Beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan penyelamat yang bertungkus lumus mencari mayat adik dan rakyat Malaysia yang mendoakannya.

“Tak dapat saya membalas jasa semua,” ujarnya sayu.

Sementara itu, anak saudara Allahyarham Siti Nurfatiha Ezuddin, 19, pula menyifatkan kehilangan bapa saudara yang dipanggil pak usu sukar diterima memandangkan mereka terlalu rapat.

Yang membuat dia terkilan kerana hasrat Muhammad Fikri untuk ke jenjang pelamin tidak kesampaian.

“Apapun saya bersyukur sangat kerana mayat pak usu ditemui. Benda nak jadi, kami redha, cuma sedih insan kesayangan kami sudah tiada,” kata Siti Fatiha yang menyifatkan allahyarham sebagai ‘kawan’ rapat kerana boleh berbincang pelbagai perkara.

Dengan penemuan mayat Muhammad Fikri itu, kini operasi diteruskan bagi mengesan satu lagi mangsa iaitu Putri Nor Fatin. – MalaysiaGazette