ubat
Dr Zaliha Mustafa (tengah) dalam sidang media selepas pelancaran Kohort Sedia di Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan nikotin daripada Akta Racun 1952 tidak sepatutnya disalah tafsir sebagai mengabaikan kesihatan kanak-kanak.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, usaha menjaga kesihatan kanak-kanak sentiasa menjadi keutamaan kementeriannya.

“Sekarang ini kita tahu kes itu sudah masuk ke mahkamah, saya tak mahu subjudis tentang perkara ini, kita tunggu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Kohort Diabetes Seremban (SeDia) di sini, hari ini.

Isnin lalu, tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan mengenyahkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Dalam pada itu, KKM bersedia bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menghasilkan ubat keluaran tempatan.

Zaliha berkata, beliau bersetuju dengan cadangan agar ubat dihasilkan di dalam negara bagi menangani kenaikan harga ekoran kejatuhan nilai ringgit.

“Saya juga sedang melihat dari sudut ini,” tambahnya.

Berhubung kemungkinan harga ubat naik dalam masa terdekat, beliau memberitahu, pihaknya masih menunggu laporan mengenai perkara itu.

“Setakat ini, belum ada jawapan tentang perkara tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette