Tompokan darah pada tisu selepas dilap pada lantai pesawat Air France. foto Twitter Habib Battah

NEW YORK – Seorang penumpang Air France berasa ngeri apabila mendapati permaidani di bawah kakinya basah dengan darah.

Penumpang Habib Battah sedang dalam penerbangan dari Paris ke Toronto pada 30 Jun lalu terhidu bau aneh dari ruang kaki di bawah tempat duduknya dan isteri sejurus selepas pesawat berlepas.

“Saya menghidu sesuatu yang busuk dan tidak dapat agak bau apa sehingga saya bangun dan melihat ke bawah, saya ternampak kesan besar di seluruh permaidani tempat duduk,” tulisnya di Twitter, sambil menambah ia berbau seperti najis.

CNN melaporkan pasangan itu, yang berpindah sementara dari Lubnan ke Amerika Syarikat (AS) dalam perjalanan dengan dua kucing mereka yang berada dalam pembawa berasingan di tempat kaki.

Darah tersebut turut meresap pada alat pembawa kucing juga dan dia terpaksa bertahan tujuh jam di tempat duduk yang sama.

Battah berkata, pramugari memberinya kain lap basah dan sarung tangan, sebelum memaklumkan seorang penumpang “berdarah” dalam penerbangan sebelum ini.

“Kakitangan Air France yang berkerumun terkejut dan mendakwa kru pembersihan telah mengalihkan tempat duduk selepas insiden penumpang yang sakit tetapi tidak membersihkan lantai,” tulisnya.

Air France memberitahu CNN dalam satu kenyataan, ada seorang penumpang tidak sihat dalam penerbangan dari Paris ke Boston pada 29 Jun lalu.

Battah tidak dapat dipindahkan ke tempat duduk lain kerana penerbangan itu sudah ditempah sepenuhnya.

“Siasatan dalaman telah dibuat,” tambah syarikat penerbangan itu.

Battah berkata Air France menghubunginya tiga hari selepas penerbangan dan memberitahunya bahawa darah itu telah bercampur dengan najis.

Syarikat penerbangan itu menawarkan kucingnya untuk dicuci dan baucar AS$500 namun ditolaknya.

“Saya tidak fikir ia betul, saya fikir ia adalah ‘bencana’ yang serius dan harus disiasat secara menyeluruh..

“Saya tidak mahu diam disebabkan tawaran ini. Tambang penerbangan kami berharga AS$2,500 – adakah diskaun 20 peratus adalah wajar apabila anda perlu duduk dengan darah dan najis?

“Saya fikir ia adalah kecuaian yang teruk dan seseorang harus bertanggungjawab.”

“Insiden berlaku – kita manusia, kita berdarah – tetapi sebaik pesawat itu mendarat, anda perlu membersihkan pesawat itu. Sungguh mengerikan perkara yang sepatutnya tidak berlaku,” ujarnya. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast