KUANTAN – Aplikasi PahangGo mencatat pertambahan lebih 100,000 pengguna baharu tahun ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, beliau yakin jumlah penggunanya akan terus meningkat mencecah 500,000 menjelang hujung tahun ini.
“Melihat perkembangan ini, barisan Ahli Lembaga Pengarah mahu sistem dan aplikasi PahangGo yang sudah dibangunkan itu dijenamakan semula dan dipasarkan kepada pihak swasta atau agensi di negeri lain,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Affandi Mohd Isa berkata, pihaknya menyambut baik saranan untuk meneroka pasaran baru yang akan membawa manfaat kepada pendapatan negeri.
Ia termasuk penjenamaan semula sistem penguatkuasaan yang sedang digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) Pahang bagi tujuan menyemak pembayaran parkir dan pengeluaran kompaun agar boleh digunakan oleh agensi penguatkuasaan lain.
“Selain itu, PahangGo juga sedang dalam perbincangan akhir dengan Jabatan Hutan Pahang untuk membangunkan sistem penjualan tiket masuk ke Eko Rimba di seluruh negeri.
“Kami juga menerima cadangan agar bekerjasama dengan pihak swasta yang juga menjual tiket bagi kemudahcapaian pengguna,” kata Affandi kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.
Buat masa ini, PBT di enam daerah iaitu Pekan, Jerantut, Rompin, Maran, Bentong dan Kuantan menggunapakai aplikasi PahangGo sebagai salah satu sistem penguatkuasaan.
Pada 15 Julai 2022, media melaporkan aplikasi PahangGo telah merekodkan jumlah transaksi lebih RM1.3 juta sebulan dengan jumlah pengguna melebihi 250,000.
Penggunaan aplikasi adalah membabitkan transaksi servis pembayaran parkir, cukai tanah, cukai pintu, bil-bil utiliti, tambah nilai telefon, pembelian tiket bus dan pembelian barangan secara dalam talian. – MalaysiaGazette