Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim berbohong mengenai usaha melupuskan pinjaman peneroka Felda.

“Ini satu pembohongan besar,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Muhyiddin, penyelesaian hutang peneroka Felda dilaksanakan semasa beliau menjadi perdana menteri dan ini disahkan oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam maklum balas parlimen pada 23 Feb lepas, yang menyatakan penyelesaian hutang peneroka Felda telah dilaksanakan. pada tahun 2021.

“Namun, disebabkan kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan penyelesaian hutang peneroka secara berterusan,” ujarnya yang menjawab tuduhan Anwar yang mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Sebaliknya, kata Anwar, Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

Anwar berkata demikian ketika meraikan Hari Peneroka Felda di Serdang semalam.

Dalam jawapan bertulis Parlimen pada 23 Februari lalu, Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan menghentikan inisiatif yang dimulakan oleh pentadbiran Muhyiddin untuk memansuhkan sebahagian daripada pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Beliau berkata kerajaan tidak akan dapat meneruskan pelupusan pinjaman peneroka Felda lagi kerana ia mengakibatkan “impak besar” kepada kewangan Felda.

Pada Julai 2021, Muhyiddin mengumumkan kerajaannya bersetuju untuk mengetepikan pinjaman peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion, tertakluk kepada syarat tertentu.

“Saya bukan jenis orang yang suka berbohong dan mungkir janji. Anwar yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji.

“Dengan kepalsuan terbaru ini, semakin jelas bahawa Anwar tidak layak untuk kekal sebagai perdana menteri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast